17hb Jun 2019. Isnin. 13 Syawal 1440H.
Alhamdulillah. Bertambah satu angka lagi usiaku. Genap usiaku 52 tahun. Masih diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk melihat keindahan alam ciptaanNYA. Semoga Allah kurniakan umur yang berkat kepadaku. Aamiin...
13 Syawal. Hari Putih. Hari Isnin. Berpuasa sunat Hari Putih, sunat hari Isnin dan sunat Syawal.
Masa tengah sibuk di dapur menyediakan juadah untuk berbuka puasa, MyKanda dan Ayong balik dari kerja. Kebetulan hari ini, jiran yang Ayong selalu tumpang pergi balik kerja tu, meyambung cuti. Makanya, dia minta abahnya datang ambil dia untuk balik. Masa pergi kerja tu, dia minta AbangYang tolong hantarkan. AbangNgah pulak memang dah balik awal daripada mereka.
MyKanda masuk ke dapur. Bertanya masak apa. Kemudian dia keluar semula ke ruang tamu. Tak pasti apa yang mereka bicarakan anak-beranak di ruang tamu. Lepas tu MyKanda masuk semula ke dapur. Dia pegang kedua-dua bahu saya dan tolak saya keluar dari dapur menuju ke ruang tamu. Ayong dan AbangNgah dah standby dengan sejambak bunga dan sebiji kek.
Allahuakbar. Alhamdulillah. Berbunga-bunga rasa hati bila menerima kejutan daripada mereka. Cumanya sedikit musykil tentang jambangan bunga tu. Warnanya memang sangat-sangat menarik. Warna-warna yang sangat lembut. Cuma kuantitinya cuma 26 kuntum. 20 kuntum berwarna fost pink dan 6 kuntum berwarna soft purple yang diletakkan di tengah-tengah jambangan tu.
MyKanda yang berada di belakang saya, memeluk saya dengan sebelah tangannya. Tangan kanannya melingkari bahu kanan saya dan memegang bahu kiri saya. Dalam masa yang sama, MyKanda menerangkan kenapa bunga tu cuma 26 kuntum sahaja. KAtanya, 26 kuntum tu juga menunjukkan tanda kami baru berkahwin. Kami berkahwin 26 tahun yang lalu. Konon-kononnya ala-ala pengantin baru gitu. Dan akan terus jadi pengantin baru katanya. Alahaiiiii...sweetnya MyKanda!
Mereka siapkan meja untuk berbuka. Buka kotak kek. Ambil piring, pinggan dan sudu. Mereka suruh emaknya duduk je. Sementara nak tunggu waktu berbuka, konon-kononnya tiup lilin la - padahal tak ada lilin pun - dan potong kek. Lepas tu Ayong datang menghampiri saya dengan sebuah beg kertas. "Ini daripada anak-anak mak", katanya. "AbangYang yang suggestkan", sambungnya lagi. Beg kertas Bonia. Ada kotak jam tangan Bonia. Jam tangan Bonia dengan batu-batu swarovski. Terima kasih anak-anak mak....
Saya memang pakai jam tangan jenama Bonia. Yang saya pakai sekarang ni, dah lebih daripada 10 tahun usianya. Saya beli pada awal tahun 2008, menggantikan jam yang sebelumnya, juga jenama Bonia, yang hilang dilarikan oleh perompak yang masuk ke rumah kami pada akhir tahun 2017 dulu. Dan jam yang sekarang tu pun, dah loose klipnya dan banyak batu-batunya yang dah hilang. Hari tu dah MyKanda kata beli je la yang lain. Tapi saya sayangkan jam lama tu. Cumanya klipnya saja yang longgar. Pernah tercicir tapi nasib baik jumpa semula. Dah ada jam tangan yang baru ni, boleh la hantar jam lama untuk dibaikpulih.
No comments:
Post a Comment