30 Ramadhan 1440H | 4hb Jun 2019 | Selasa
Selepas sahur dan selesai solat subuh, arahkan Adik dan AbangNgah untuk keringkan pakaian yang masih basah di ampaian. Malam tadi, AbangNgah dah pusing-pusing tengok kedai dobi. Penuh katanya. Dia pula bukan jenis yang suka menunggu, so dia balik aje tanpa mengeringkan pakaian. Pergi selepas subuh, alhamdulillah. Mereka guna dua mesin pengering.
Selesai mereka mengeringkan pakaian, barulah bermula sesi memilih, mengasing, mengumpul dan mengemas pakaian mana yang nak dibawa balik ke kampung. Pakaian yang nak digunakan di Muar, kumpulkan kat sana. Pakaian yang nak dipakai di Chemor pula dikumpulkan di situ. Ayong gunakan luggage sendiri bersaiz S. Manakala kami empat beranak - MyKanda, AbangNgah, Adik dan saya - berkongsi satu luggage. Nak jimatkan ruang bonet katanya. Ok...ke Muar kami gunakan satu beg bersaiz M dan untuk ke Chemor pula kami gunakan beg bersaiz L.
Bila dah dikumpulkan semua beg dan barang-barang yang nak dibawa balik, ooomakaihhhh...! Tiga buah beg pakaian, empat kotak songkok - dimasukkan ke dalam satu beg vinyl, empat kotak baju Melayu - dimasukkan ke dalam satu beg vinyl juga, satu beg selimut, satu beg bantal-bantal kecil, satu beg tuala mandi, beg-beg plastik berisi kerepek, kuih-muih, kek-kek lapis. 2 buah beg laptop, satu beg kasut.
Bonet Myvi diisi dengan beg pakaian saiz S, beg selimut, beg bantal dan satu beg laptop. Beg kuih-kuih, kerepek dan kek lapis pula diletakkan di bahagian kaki penumpang belakang. Yang lain-lain, tunggu kereta satu lagi.
Jam 9:30 pagi, Myvi bergerak dulu menuju ke kampung. AbangNgah, Ayong dan Adik.
Sementara menanti MyKanda balik dari kerja, saya meneruskan kerja-kerja mengemas beg pakaian. O000makaihhhh....banyaknya lagi beg yang nak dibawa balik! Dua beg pakaian bersaiz M dan L, satu beg songkok, satu beg baju Melayu, satu beg tuala mandi, satu beg telekung, satu beg duit raya. Di bawah sana nun dah standby satu hamper, satu beg kasut, satu baldi toiletteries, satu beg ubat dan satu beg lappy.
Siap dah packing semua. Jom angkut ke bawah pulak. Nanti senang MyKanda nak susun ke dalam bonet kereta. Berapa kali kena turun naik ni nak angkut semua? Mau turun 3kg lagi ni. Hahahhaaa...
Jam 12:00 tengah hari, MyKanda baru balik dari kerja. Alhamdulillah, kerja-kerja mengemas dah siap. Selesai membersihkan diri dan solat Zohor, MyKanda mengemas barang-barang ke dalam bonet kereta. Selesai je mengemas, kami terus bergerak balik ke kampung sekitar jam 1:40 tengah hari.
Dalam perjalanan, kami singgah mencari belanja Syawal di beberapa mesin buah institusi kewangan. Boleh dikatakan hujan di sepanjang perjalanan. Kadang-kadang lebat hingga menyukarkan pandangan, kadang-kala renyai-renyai sahaja.
Dalam perjalanan, MyKanda keletihan dan mengantuk. Tak ingin mengambil risiko, maka kami berhenti sekejap di R&R Machap Arah Utara. Rileks sekejap. MyKanda belek-belek handphone kejap. Nak minum kopi, masih dalam bulan Ramadhan. Tak sampai 5 mint berehat, MyKanda meneruskan pemanduan. Alhamdulillah. Kami sampai di kampung dalam sekitar jam 5:30 petang.
Alhamdulillah. Dapat berbuka dua kali dengan keluarga mertua - pada 1 Ramadhan dan pada 30 Ramadhan - pembuka dan penutup Ramadhan 1440H.