Wednesday, September 12, 2018

Moist Fruit Pastry Cake

Selepas buat kek ini haritu, suami komplen kek ni agak kering. Memandangkan baki buah-buah dan sour cream masih ada, saya merajinkan diri membuatnya sekali lagi. Kali ini saya ubah sikit kuantiti bahan-bahannya. Caranya membuatnya masih sama. 
Apa yang saya ubah? Baki sour cream aritu saya masukkan dua kali ganda kuantiti asal iaitu 120gm - resepi asal cuma 60gm. Gula pula saya kurangkan dua sudu besar rata sebab pada saya resepi asal tu agak manis setelah dikombinasikan dengan buah-buahan segar tu. Tepung pula saya tambah sikit menjadi 220gm - asalnya 210gm. Dan saya tambah 3 sudu besar susu segar. Susu ni saya masukkan selepas saya masukkan tepung. Dan kali ini saya bakar dalam loyang foil yang kecil. Dapatlah 3 loyang.
 Dan inilah hasilnya. Keknya lebih moist / lembab dan kemanisannya secukup rasa - ikut tekak saya la. 



Friday, September 7, 2018

Bingka Labu Manis


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini nak kongsi resepi Bingka Labu pulak.

Labu ni Makndak Liza yang bagi masa kami balik kampung aritu. Selalu tu, kalau ada labu, saya buat lepat aje. Kali ini nak cuba buat bingka pulak. Kadang2 beli bingka labu tapi tak terasa pun labunya. Tepung je banyak. Jadinya saya selongkarlah blog Dapur Tanpa Sempadan kepunyaan CikMatGebu Adnan Ibrahim.

Saya suka makan bahagian yang garing di kelilingnya tu. Kalau masak Kuih Bakar pun saya akan bakar sampai betul2 garing. Dan kelilingnya tu saya yang punya! Sebelum ini saya belum pernah mencuba buat bingka labu. Ini kali pertama saya mencuba. Dan dalam masa 3 hari, dah 2 kali saya membuatnya. Resepi CMG ni memang sangat kena dengan tekak saya. Cukup lembutnya, lemaknya, manisnya, rasa "kelabuannya". Wallaaaa...! Bingka ini saya bakar dalam loyang 9" x 9" x 3", itu yang dapat nipis sikit tu. Kalau nak tebal sikit, gunakan loyang 8" x 8" x 3" ya.

Jom tengok resepinya. Resepi ini saya olah mengikut apa bahan yang ada di rumah saya ya. Nak dapatkan resepi original, pergilah jenguk blog Dapur Tanpa Sempadan tu. Bermacam2 resepi ada di sana dan memang boleh dipercayai 100%.

BINGKA LABU MANIS

Bahan-bahan :
  • 550gm labu manis yang telah dibuang kulit
  • 2 helai daun pandan - disimpul
  • 2 cawan tepung
  • 2 biji telur Gred B
  • 1/2 cawan gula dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu pekat manis dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu penuh krim (susu kotak)
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu besar mentega - dicairkan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • Bijan secukupnya - saya tak guna sebab tak ada stok 
Cara-caranya :
  1. Potong labu berbentuk kiub. Masukkan ke dalam periuk bersama dengan daun pandan dan rebus sehingga lembut. Buang daun pandan dan toskan. Lecek / lenyek labu sehingga halus. Ketepikan.
  2. Oles dasar loyang dengan marjerin / mentega. Alas dengan aluminium foil. Lebihkan foil di kelilingnya supaya senang untuk mengeluarkan bingka nanti. Oles aluminium foil dengan marjerin / mentega. Tujuan foil ni juga supaya bingka garing di bahagian keliling dan bawah tanpa menghanguskannya.
  3. Dalam bekas besar, masukkan telur, gula dan garam. Pukul dengan whisk hingga gula hancur.
  4. Masukkan santan, susu pekat manis, susu penuh krim dan esen vanilla. Pukul lagi hingga sebati.
  5. Masukkan tepung pula. Kacau hingga tidak bergentel2. Tapiskan adunan.
  6. Kemudian masukkan labu yang telah dilecek tadi. Kacau rata.
  7. Akhir sekali masukkan mentega cair dan kacau hingga sebati.
  8. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil tadi dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. 
  9. Keluarkan bingka dari loyang dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong.

 Rebus labu bersama simpulan daun pandan hingga lembut
 Lecek hingga halus
 Campuran telur, gula, garam, susu pekat manis, susu cair, santan dan esen vanilla
 Masukkan labu yang telah dilecek dan kacau
 Adunan setelah dicampurkan labu lecek
 Masukkan mentega cair dan kacau
 Loyang yang dialas dengan aluminium foil dan dioles dengan mentega di dasar dan kelilingnya
Adunan yang telah dituang ke dalam loyang dan sedia untuk dibakar.

Catatan : 
Saya gunakan santan kotak 200ml dan dibancuh menjadi 500ml / 2 cawan santan.
Saya oles seluruh permukaan aluminium foil supaya bingka tidak melekat pada foil nanti.
 Elok je bingka tidak melekat pada aluminium foil

SELAMAT MENCUBA!

Friday, August 31, 2018

Fruit Pastry Cake


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Kebelakangan ini kek ini kembali viral. Padahal di tahun 2010, 2011 dah femes kek ini. Masa tu mungkin sebab FB dan IG belum begitu popular dan tak ramai yang menggunakannya.

Disebabkan kek ini kembali viral, maka saya pun berusaha untuk membuatnya semula. Dulu dah buat 2,3 kali. Dulu la...  Sekarang ni bila tengok gamar2 kek banyak muncul di FB dan IG, sangat2 tergoda nak membuatnya.

Senang je nak buat kek ini. Bahan2 pun senang nak dapat dan tak banyak bahan pun yang digunakan. Rasanya ada sikit masam2 sebab guna sour cream. Jom tengok resepinya...


FRUIT PASTRY CAKE

Bahan-bahan :
  • 113 gm mentega - pada suhu bilik
  • 120gm gula kastor
  • 60gm sour cream - boleh ganti dengan yogurt perisa asli
  • 3 biji telur Gred A
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 1 sudu teh parutan kulit oren (orange zest)
  • 210 gm tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • Buah2an segar secukupnya - saya guna buah bluberi, stroberi dan peach dalam tin


Cara-cara :
  1. Basuh buah2an segar, toskan dan lap dengan tuala dapur. Basuh buah peach dan lap dengan tisu dapur. Tabur gula kastor ke atas buah2an ini. Ketepikan.
  2. Ayakkan tepung dan baking powder. Ketepikan.
  3. Panaskan ketuhar pada suhu 170oC. Gliskan loyang 8" dengan mentega / marjerin dan alas dasarnya dengan kertas minyak.
  4. Pukul gula, mentega dan sour cream hingga berkrim.
  5. Masukkan telur satu per satu dan pukul hingga sebati.
  6. Masukkan campuran tepung dan b.powder, esen vanilla dan parutan kulit oren. Kacau hingga sebati.
  7. Tuang adunan ke dalam loyang. Ratakan.
  8. Aturkan buah2an tadi di atas adunan.
  9. Bakar selama 50 - 60 minit atau sehingga masak.
  10. Sejukkan sebelum dihidangkan.



Nota :
Buah stroberi tu, kalau kecil2 dan comel2, boleh je letak sebiji2. Saya potong2 buah stroberi tu sebab buahnya besar sangat.

SELAMAT MENCUBA!

Kemerdekaan Ke-61



Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan Malaysia yang ke-61 kepada seluruh rakyat Malaysia walau di mana anda berada.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Thursday, August 30, 2018

Bingka Roti Kukus Pandan



BINGKA ROTI KUKUS PANDAN

Bahan-bahan :
  • 8 keping roti slice - apa2 jenis roti slice
  • 200ml / 1 kotak kecil santan 
  • 200ml air
  • 1/2 cawan gula pasir 
  • 4 biji telur
  • Secubit garam
  • 1/2 sudu teh pes pandan
  • Sedikit pewarna hijau
  • 2 helai daun pandan - disimpulkan


Cara-cara : 
  1. Dalam bekas besar, satukan gula, santan, air, pes pandan, telur dan garam. Kacau dengan menggunakan whisk hingga sebati.
  2. Kemudian rendamkan roti slice ke dalam adunan dan biarkan selama lebih kurang 10 minit.
  3. Oles loyang dengan marjerin atau alaskan dengan PE cling wrap.
  4. Panaskan kukusan dan balut penutupnya dengan kain supaya air tidak menitis ke atas adunan semasa mengukus.
  5. Pindahkan roti yang direndam tadi ke dalam loyang dan tuang lebihan adunan ke dalam loyang.
  6. Letakkan simpulan daun pandan di atas permukaan adunan dan kukus selama 15 - 20 minit.

 Rendam roti ke dalam adunan
 Pindahkan roti ke dalam loyang dan tuang lebihan adunan
 Letakkan simpulan daun pandan dan kukus
Selepas dibuka penutup kukus



Nota :
  1. Kepingan roti tidak perlu dibuang bahagian tepinya.
  2. Kepingan roti boleh juga dipotong dua setiap keping.

SELAMAT MENCUBA!

Monday, August 27, 2018

Rendang Tok Bonda

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Rendang Tok resepi daripada arwah bonda tersayang. First time buat dulu masa nak pergi Cuti-Cuti Malaysia ke Mersing bersama dengan kawan2 sekerja suami tahun 2008. Ajak arwah emak dan adik pergi sekali. Memasak semasa arwah mak di rumah saya. Arwah mak kata "pass with flying colours". Alhamdulillah...sukanya!

Masa tu saya masak 4kg daging. Dari mula tenggek periuk atas dapur sampailah kering kuahnya, mengambil masa 5 jam. Itupun baru kering2 gitu je kuahnya. Then esoknya sambung lagi hingga betul2 kering - lebih kurang dalam 2 jam lagi. Barulah dapat warnanya yang kehitam2an.

Tapi kali ini saya sangat kepenatan - tenanga dah tak segagah dulu - makanya tak sempat nak tunggu betul2 kering, saya dah angkat sudip dan matikan api dapur. Hehehe...

Kalau betul2 kering, rendang ni boleh tahan lama. Tapi kalau kurang kering, boleh aje diperangatkan selalu. Lama2 dapatlah versi yang betul2 kering dan hitam warnanya.

Kepada yang nak mencuba, saya sertakan resepinya di bawah ini. Ini adalah resepi arwah bonda saya. Semoga pahala daripada perkongsian resepi ini sampai kepada arwah bonda saya.

Al-Fatihah untuk arwah bonda saya - HAJJAH RADZIAH BINTI HAJI ZAKARIA

Bahan-bahan : 
  • 1 kg daging – dipotong dadu anggaran 1½” x 1½”
  • 2 paket rempah kari daging Baba’s 
  • 4 kuntum bunga lawang
  • 3 batang kulit kayu manis
  • 6 biji buah pelaga
  • 1” belacan (**)
  • 6 batang serai (**)
  • 3” lengkuas muda (**)
  • 3” halia (**)
  • 10 ulas bawang merah – dihiris halus
  • Kerisik – dari ½ biji kelapa
  • Santan – dari 2 biji kelapa
  • 2 helai daun kunyit – dihiris halus
  • 1 buku gula Melaka – saiz kecil – dipotong kecil2


Cara-cara :
  1. Kisar bahan2 bertanda (**).
  2. Masukkan kesemua bahan ke dalam kuali dan masak dengan api yang sederhana.
  3. Perasakan masin dan manisnya. Kacau hingga betul2 kering.

Nota :

Pastikan santannya penuh hingga menutupi daging
Pastikan selalu dikacau untuk mengelakkannya daripada hangus di bahagian bawah



Wednesday, August 22, 2018

Happy 25th Anniversary


22hb Ogos 2018. 
10hb Zulhijjah 1439H.
Rabu.

Genaplah 25 tahun pernikahan kami. Selamat ulangtahun perkahwinan kepada suamiku. Terima kasih atas segala-galanya. Terima kasih kerana menerima diriku seadanya. Semoga ikatan pernikahan kita kekal hingga ke syurga FirdausNYA. In shaa Allah. 



Tahun ini tiada sambutan seperti biasa. Tiada bunga. Tiada hadiah. Tiada surprise. Tapi ada hadiah yang paling bermakna untuk kita. Tahun ini ulangtahun pernikahan kita jatuh pada Hari Raya Aidil Adha, 10 Zulhijjah 1439H. Kita adakan ibadah qurban di kampung bersama abah emak, adik-beradik, ipar-duai serta orang2 kampung. Alhamdulillah. Inilah hadiah yang paling bermakna untuk kita. Semoga ibadah kita diterima olehNYA. Aamiin...

Kita diraikan oleh ramai orang2 kesayangan kita - walaupun tidak kita war-warkan dan diluar kesedaran mereka. Hehehehe...




Semoga kita kekal bahagia bersama anak2 kita hingga ke akhirnya dan kita dipertemukan semula di syurgaNYA nanti. Aamiin YaRabbal 'Alaamiin...

Wednesday, August 15, 2018

Jom Belajar Buat Tart Crust Dan Adunan Krimcis!

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua.

Seperti yang dijanjikan, saya perturunkan di sini resepi cistat yang selalu saya gunakan dalam pembuatan cistat saya. Semoga ianya bermanfaat kepada semua. In shaa Allah.



Tart Crust / Tart Shell

Bahan-bahannya :
  • 170gm marjerin
  • 50gm gula aising
  • 1 biji telur Gred C
  • 290gm tepung gandum
  • 1 sudu kecil esen vanilla
Cara-cara : 
  1. Pukul marjerin dan gula dengan senduk kayu hingga sebati. Tak perlu hingga kembang. Cukup sekadar gula dan marjerin sebati sahaja. 
  2. Masukkan telur dan esen vanilla.
  3. Masukkan tepung. Uli hingga menjadi doh yang lembut.
  4. Masukkan ke dalam acuan tat. Cucuk dengan garfu sebelum dibakar.
  5. Bakar pada suhu 170oC sehingga masak.

Kaedah Gaul Dan Ramas : 
  1. Tepung + gula. Gaulkan.
  2. Masukkan telur dan esen. Gaulkan.
  3. Masukkan marjerin dan uli hingga jadi doh.


Nota : 
  1. Jika guna telur Gred B, buang sedikit putih telurnya untuk mengelakkan crust menjadi keras sangat.
  2. Jika tidak menggunakan telur, crust susah dikeluarkan daripada acuan.
  3. Jika guna kuning telur sahaja, crust akan jadi sangat rapuh.
  4. Boleh guna mentega tetapi crust akan cepat lemau.
  5. Boleh guna kaedah “gaul dan ramas" tetapi crust  akan cepat lemau dan tekstur tidak berapa cantik sebab berminyak.
Adunan Krimcis

Bahan-bahan : 
  • 250gm cream cheese - saya guna jenama Tatura
  • 50gm gula kastor / gula halus
  • 1 biji telur Saiz B
  • ½ sudu teh esen vanilla
Cara-cara : 
  1. Putar cream cheese dan gula hingga berkrim.
  2. Masukkan telur dan esen vanilla. Putar lagi.
  3. Masukkan filling ke dalam kulit tat.
  4. Tuang cream cheese ke atasnya. Bakar selama 5 minit pada suhu 170oC. Sentuh cream dengan hujung jari. Jika tidak melekat, maknanya telah masak. Angkat. Jika tidak, bakar dalam seminit lagi.
Filling :

Blueberry, strawberry, kiwi, oren, cokelat, dan lain-lain.

Tuesday, August 14, 2018

Jom Belajar Melorek Cistat!

Assalamualaikum. Jom belajar cara nak melorek cistat cara saya. Saya tak ada buat yang fancy2 ya. Saya cuma buat yang klasik je...


Mula-mula, susun dan atur tart crust ke dalam loyang pembakar. Lepas itu picitkan filling yang anda suka. Dalam video di atas tu, saya gunakan filling blueberry. Masukkan filling ke dalam piping bag. Senang nak picit ke dalam crust. Hujung piping bag tu potong sikit.



Lepas tu picitkan adunan krimcis ke atas filling tadi. Picit sampai penuh hingga ke bahagian tepi crust. Pastikan adunan krimcis tidak terlalu cair untuk dapatkan cistat yang membukit.


Inilah cara saya "mencalit" di atas adunan krimcis. Dulu2, saya gunakan pengcungkil gigi ataupun lidi sate untuk mencalit. Kena calit satu per satu garisan. Untuk memudahkan kerja, saya gunakan garfu mini bergigi tiga. Sekali calit je dah siap tiga garis. Senangkan!


Langkah terakhir ialah mencorakkannya / meloreknya. Itulah cara saya. Selama saya membuat cistat, inilah paten saya ataupun sekadar "C" sahaja tanpa ekor.

Semoga ianya bermanfaat untuk semua.

Wednesday, August 8, 2018

Rendang Pedas Daging Stail Arwah Emak



Bahan-bahan :
15-20 biji cili kering - rendam dalam air panas sampai lembut
 batang serai - dihiris (**)
2 inci halia - dihiri (**)
2 inci lengkuas - dihiris (**) - tak ada pun tak apa
1 inci kunyit hidup - dihiris (**)
1 cawan kelapa parut
10 biji bawang merah - dihiris
5 ulas bawang putih - dihiris
2 helai daun kunyit bersaiz sederhana - dihiris halus
2 helai daun limau purut - dihiris halus
300ml santan pekat - dibancuh dengan air secukupnya
Garam dan perisa secukup rasa

Cara-cara :
1.  Potong daging nipis2 atau mengikut citarasa sendiri. Bersihkan dan masukkan terus ke dalam kuali.
2.  Masukkan sekali hirisan bawang merah dan bawang putih.
3.  Kisar bahan2 bertanda (**) hingga hancur bersama sedikit air atau gunakan santan yang telah dibancuh tadi, Tuangkan ke dalam kuali berisi daging tadi,
4.  Kemudian kisar pula kelapa parut sedikit. Kisar sekejap sahaja. Tuangkan ke dalam kuali.
5.  Masak sehingga daging empuk dan hampir kering. Tambah air jika daging belum empuk.
6.  Setelah kuahnya kering, masukkan hirisan daun kunyit dan daun limau purut. Kacau hingga sekata.
7. Masak lagi hingga kuahnya betul2 kering.

Selamat mencuba.


Tuesday, July 31, 2018

Musim Haji 2018

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarokatuh...

Kini tiba lagi musim haji. Alhamdulillah dan tahniah kepada mereka yang mendapat peluang ke sana tahun ini. Termasuklah emak saudara kesayanganku - adik bongsu kepada arwah emak - yang kami panggil WANCHU.



Selamat berangkat kepada Wanchu - AZIZAH BINTI HAJI ZAKARIA.

Labbaikallah hummalabbaiik... 

Semoga Allah lindungi Wanchu, diselamatkan perjalanan pergi dan balik, dipermudahkan segala urusan samada sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadah haji, dikurniakan kesihatan yang baik untuk beribadah, diberikan hati yang tenang dan kesabaran yang tinggi, dan moga Wanchu mendapat haji yang mabrur. In shaa Allah. 

Aamiin Allahhumma aamiin... 

Monday, July 30, 2018

SetelahSekian Lama...

Assalamualaikum. Selamat pagi. 

Allahhummasolli'ala saiyyidina Muhammad
Wa'ala alih saiyyidina Muhammad

Alhamdulillah. Hujan rahmat di pagi ini setelah berapa lama tak hujan. Panas berdeting. Sejuk sikit bumi Pasir Gudang.

Saat yang paling bagus untuk berdoa. Saat doa2 mustajab. Jom submit doa kepada Allah.


Thursday, January 11, 2018

Selamat Datang 2018!


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Allahhuakbar! Sudah lebih daripada setahun blog ini terbiar begitu sahaja. Adakah ini satu kebangkitan? Atau sekadar di pinggiran?

SELAMAT DATANG TAHUN 2018...

SELAMAT TINGGAL TAHUN 2017!

Tahun 2018 bermula dengan sejuta kesuraman...

Al-Fatihah untuk arwah bondaku HAJJAH RADZIAH BINTI HAJI ZAKARIA (10.12.2017)
Al-Fatihah untuk arwah ayahandaku MOHD ZAIN BIN CHU (03.11.1995)

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah bonda dan ayahandaku serta ditempatkan bersama para syuhadah.

YaAllah! YaRahman! YaRahim! YaZaljalaliwaliqram...
Engkau ampunkanlah dosa2 kedua ibu dan bapaku YaAllah...
Engkau tempatkanlah mereka di dalam syurga Firdaus Mu YaAllah...
Engkau jauhkanlah mereka daripada azab kubur YaAllah...
Engkau lapangkanlah kubur mereka YaAllah!