Thursday, July 23, 2009

U-Turn Ke Jalan Lurus

"U-Turn Ke Jalan Lurus" merupakan sebuah buku terbitan Tarbiah Rohani hasil himpunan Zul Ramli Mohamed Razali. Menurut beliau, apa yang ada dalam buku ini terasnya ialah himpunan Hadis Qudsi yang terdapat dalam kitab Imam al-Ghazali yang bertajuk al-Mawa'iz Fil Ahadis al-Qudsiah. Selebihnya ialah mutiara pengajaran; terhimpun bersama-sama kisah dan cerita teladan yang diadun bagi mendatangkan kesan kepada pengajaran hebat daripada Tuhan.

Saya telah mendengar sedikit penerangan mengenai buku ini melalui rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dalam segmen "Sehari 1 Buku". Hati ini macam terpanggil2 untuk mencari buku tersebut. Alhamdulillah, semasa saya ke kedai buku di Pusat Bandar, saya telah menemukan buku tersebut. Tanpa fikir panjang, saya telah membelinya. Di dalamnya terdapat 30 kisah teladan dan pengajaran yang turut disertakan dengan Peringatan yang merupakan firman2 Allah berkaitan dengan penceritaan tersebut dan juga Butiran Kebijaksanaan yang merupakan pengajaran dari cerita2 tersebut.

Walaupun saya baru dapat menghabiskan 2 Mutiara, tapi hasil kupasan yang diberikan amat menarik dan menginsafkan. Sebelum saya pertontonkan Mutiara2 yang ada, sukacita untuk saya pertontonkan dahulu mukadimah dari buku ini :

Lupa Satu Keperluan
Kenyataan di atas agak ganjil namun kita dengar secebis kisah ini.

Ketika sesi perbincangan kumpulan dalam satu kursus, seorang sahabat apabila ditanya tentang peristiwa paling sedih dalam hidupnya, dia bercerita :

"Suatu petang pada tahun 1999 setelah habis sesi pengajian petang di universiti, saya dipanggil ke pejabat, ada panggilan telefon untuk saya. Wajah kerani yang menyambut panggilan itu agak gugup.

"Di hujung talian, saya dapati suara abang yang memberitahu dengan nada bergetar, sarat dengan kesedihan bersama tangisan perlahan...Ibu telah meninggal dunia. Saya tidak dapat menggambarkan bagaimana gawat badai dalam hati saat itu...

"Wajah ibu bermaian di ruang mata. Bulan lepas ketika saya bersalam dan itu salam yang terakhir saya dengan ibu, ibu mencium saya lebih lama daripada biasa... Itu saya masih ingat. Saya memeluk dan menciumnya dengan girang tetapi segera ingin berangkat, banyak yang perlu diselesaikan di universiti...

"Hati saya berkata, kenapa tidak lebih lama menampung kasih sayangnya.

"Apabila pulang ke kampung, saya dapati tubuh ibu telah diselimuti kain putih. Saya meluru mencium ibu semahu-mahunya tapi ibu hanya terkujur kaku dengan wajah lesi dan mata terpejam rapat. Dia tidak mendengar pun esak tangis saya yang pilu...

"Dada saya hampir pecah membayangkan perpisahan ini..."

Dia menghabiskan cerita dukanya. Kami berkongsi airmata. Saya bertanya kepadanya, kenapa hari ini andi tidak lagi menangis? Adakah kasih sayang terhadap ibu telah luntur? Siapakah yang telah mengambil ruang kasih sayang ibu itu"

Jawapannya tentu tidak! Sayang masih membara dan tiada siapa yang mampu mengisi ruang kosong itu, pasti! Tetapi kenapa hari ini tidak seperti gawat tahun 1999 itu?

Sebabnya adalah kerana manusia punya sifat lupa. Cuba bayangkan seandainya sifat ini tiada. Ingatan dan kesedihan terhadap kematian ibu benar2 segar, tiba2 datang pula berita meninggalnya bapa atau kegawatan lain dalam hidup. Bagaimana manusia boleh mengharungi hidup dalam situasi sedemikian? Bagaimana dada mereka tahan untuk menanggung semua ini?
Atas alasan ini, manusia dibekalkan dengan sifat lupa. Lupa bagi manusia satu keperluan!

Lupa dan Jangan Lupa
Namun, sifat semulajadi ini akan bertukar menjadi malapetaka sekiranya mereka lupa beberapa perkara penting dalam hidup. Daripada kelupaan perlu iaitu kelupaan emosi seperti lupa terhadap kesakitan, penderitaan masa lalu, dianiaya oleh kawan baik, atau apa saja sejarah hitam lampau, sehingga semua yang patut diingati pun turut dilupai oleh manusia. Amat malang sekiranya kelupaan itu menjadi lesen kepada setiap kelupaan yang lain. Apabila ini terjadi, manuasia akan hanyut dalam kealpaan dan kelalaian yang tidak bermuara. Kelalaian yang dimaksudkan ialah lalai terhadap ilmu, agama, nilai, ajaran berguna dan didikan.

Sekiranya ini berlaku, manusia perlu diingatkan kembali. Manusia perlu kepada sesuatu yang boleh merangsang kembali ingatan dan mengembalikan mereka kepada arus kebaikan. Inginkan kebaikan adalah fitrah yang lebih berpengaruh dalam diri seseorang berbanding mana2 sifat semula jadi yang lain.

Hati Yang Perlu Diingatkan
Tindakan manusia sebenarnya dibentuk oleh set kefahaman dalam dirinya. Allah Taala berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami kembalikan ke dalam neraka Jahanam nanti ramai daripada golongan manusia dan jin, mereka punya hati tetapi tidak faham dengannya, punya telinga tetapi tidak mendengar dengannya, punya mata tetapi tidak melihat dengannya. Mereka seperti binatang ternak bahkan lebih hina." (Al-A'raf : 179)

Dalam ayat dia atas, Allah telah memberitahu kita bahawa hati ialah tempat letaknya kefahaman. Sesuatu peringatan itu berjaya sekiranya ia meresap ke dalam hati untuk membentuk set kefahaman. Jadi, sasaran sesuatu peringatan itu bukan pada akal tetapi terus ke dalam hati. Pancaindera seperti mata dan telinga pula bertindak selaku pengumpul maklumat untuk memuncakkan sesuatu kefahaman sehingga ia benar2 meresap ke dalam hati.

Kuasa Hati
Rasulullah SAW bersabda maksudnya :

"Dalam diri manusia ada segumpal daging, apabila baik daging itu akan baiklah seluruh dirinya, sekiranya jahat akan jahatlah seluruh dirinya. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati."

Hadis tersebut menjelaskan tentang kedudukan hati dalam diri manusia. Seluruh tingkah laku yang terbit dari anggota manusia itu sebenaranya berpunca dari hatinya. Hati bolehlah diibaratkan seperti raja dalam kerajaan diri. Dialah pemutus kata bagi anggota tubuh yang bertindak selaku bala tentera yang amat patuh. Jika begitu tinggi sekali kedudukan hati dalam proses kefahaman, amat wajar keutamaan diberikan kepada usaha bagi memastikan hati mendapat apa yang sepatutnya, iaitu pengajaran.

Pengajaran Terunggul
Secara tradisi, manusia punya kaedah tersendiri bagi membangunkan hati. Ini dapat dilihat dalam pengajaran masa lampau yang ditinggalkan termasuk juga kajian dan pelaksanaan semasa. Persoalannya, apakah semua itu merupakan sesuatu yang tulen? Persoalan ini penting untuk dipastikan terlebih dahulu kerana ketulenan sesuatu sumber itu perlu selari dengan sifat asas hati yang tulen dan bersifat bening lagi jernih. Pengajaran yang tidak tulen bukan merawat hati, sebaliknya akan mencemarkan hati. Mungkin pada awalnya ia kelihatan menyembuhkan tetapi kemudian menjadi seperti aspirin yang melagakan buat sementara waktu tetapi dalam jangka waktu lama, ia memudaratkan. Ia menjadi perosak kepada kefahaman menyeluruh, lalu tindakan baik yang sempurna pasti tersasar.

Sewajarnya sebelum membincangkan pelbagai kaedah daripada perahan akal fikiran, yang tentunya berdasarkan penelitian mendalam serta proses uji kaji, teliti lebih dahulu pengajaran terunggul yang sebenarnya ada dalam buku Tuhan dan peninggalan pesuruhNya. Meletakkan pengajaran daripada Tuhan sebagai asas adalah perlu bagi mendapat hasil maksimum kepada proses pembinaan hati. Setiap kali kita inginkan penyelesaian tuntas maka rujuklah terlebih dahulu kepada apa2 yang datang daripada al-Quran dan al-Hadis.

Pusingan U Ke Jalan Betul
Setiap manusia pernah terbabas dan tersalah jalan. Apa yang membezakan antara orang cemerlang dengan gagal ialah orang cemerlang menemui jalan kembali yang betul, manakala orang gagal akan terus berada di jalan salah dan tak menemui mana ruang untuk kembali.

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya :

"Setiap kamu bersalah... sebaik yang bersalah adalah yang kembali."

Amat penting bagi manusia mencari ruang kembali, manakala lorong U-Turn untuk masuk semula ke laluan jalan yang betul. Di manakah dot pusingannya?
  • Manusia tidak tahu tentang salahnya sehinggalah disedarkan
  • Mereka tidak mahu berbuat baik sehinggalah disedarkan
  • Mereka tidak mampu cemerlang sehinggalah disedarkan

Semuanya mengenai kesedaran mendalam!

Kesedaran perlu terus dipupuk. Racunnya adalah lupa. Tenaganya pula ialah peringatan dan pengajaran. Oleh itu manusia perlu kepada peringatan dan pengajaran bagi menawarkan racun kelupaan, juga mengekalkan tenaga perubahan supaya berterusan dalam hidup.

Inilah fungsi khusus Rasulullah SAW sehingga mereka yang berada di sekitar lingkungannya berjaya membina kecemerlangan yang gilang-gemilang. Allah berfirman yang bermaksud :

"Dan berilah peringatan, sesungguhnya engkau wahai Muhammad sebagai jurupemberi ingat..." (Al-Ghasyiah : 21)

Jadi setiap kali bertemu ruang untuk berpusing kembali ke jalan betul, lakukanlah kerana itu ialah anugerah daripada pengajaran dan peringatan yang terbesar.

Wallahualam...

2 comments:

Ummi Hajjah said...

Salam Ita. Posting yg ditunggu2. Banyak iktibar. Dari tajuk je amat menarik. Rajin2 tegor akak ye kalau ternampak yang tak kena.tq.

Azita Zain said...

Waalaikumsalam. Buku mmg amat menarik. Saya dlm proses membacanya. Naru abis 2 Mutiara...