Monday, September 21, 2015

Asam Pedas Ikan Kembong

Ini menu tertunggak. Lupa dah pun bila buatnya. Tapi tak le lama sangat dah. Dua minggu lepas kot. Asam pedas memang kegemaran anak-beranak. Sebelum ni saya tak suka asam pedas dan saya macam tak teringin pun nak mencubanya. Bukan tak boleh makan tapi tidaklah nak dan nak lagi rasanya. Tapi selepas saya makan asam pedas di mana entah...lupa dah...rasa macam sedap je asam pedas ni. Balik rumah, selak buku resepi Chef Hanieliza. Salin dalam sehelai kertas dan sediakan bahan2nya. Tapi sebelum tu kenalah pergi membeli mana2 bahan yang tak ada di rumah. Yang penting ialah bunga kantan dan daun kesum (orang utara panggil daun cendehom ataupun cenehom). Tapi ada juga bahan2 di dalam resepi tu yang saya tidak gunakan.
Jom kita tengok resepinya yang telah saya oleh mengikut citarasa dan bahan2 yang saya ada.

Bahan-bahannya :
4 ekor ikan kembong
2 kuntum bunga kantan - dibelah 2 atau 4
3 tangkai daun kesum
5 biji bendi
1 sudu kecil pati asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
3 cawan air
Minyak untuk menumis

Bahan2 untuk dikisar :
20 batang cili kering
1 biji bawang besar
5 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 batang serai - dihiris halus

Cara-caranya :
Panaskan minyak untuk menumis di dalam periuk.
Tumis bahan2 kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
Masukkan air asam jawa dan air. Masak hingga mendidih.
Masukkan bendi, daun kesum dan bunga kantan.
Perasakan masin, masam dan manisnya.
Masak hingga bendi separuh masak.
Masukkan ikan dan biarkan mendidih selama 5 minit.
Tutup air dan sedia untuk dihidangkan.

p/s : Jangan masak lama sangat selepas masukkan ikan sebab ikan cepat masak. Kalau lama sangat nanti ikan hancur.

Friday, September 11, 2015

Penyiraman Di Musim Catuan Air

 Mari kita berkebun pula!
Sekarang ni Pasir Gudang sedang mengalami catuan air. 2 hari tiada air, 1 hari ada air. Alhamdulillah. Walaupun dicatu, masih ada air mengalir ke rumah mengikut jadual catuan. 
Dah sebulan kami menghadapi masalah air ini. Dalam masa yang sama, cuaca walaupun redup tetapi berbahang panasnya. Diterukkan lagi dengan keadaan berjerubu. 
Maklumat terkini yang kami terima, catuan akan dilanjutkan sebulan lagi memandangkan takungan di empangan berhampiran masih di tahap kritikal.
Proses menadah dan menakung air untuk kegunaan di hari2 ketiadaan air amat dilakukan sebaik sahaja ada air. Perit juga 2 hari tiada air dan 1 hari ada air. Apa2pun, alhamdulillah kerana masih ada air yang disalurkan ke rumah. 
Takungan air untuk kegunaan seharian setakat ini mencukupi. Cuma kesiankan pokok2 yang kekeringan sebab cuaca yang panas.
Satu kaedah yang saya gunakan ialah seperti di dalam gambar. Saya dapat kaedah ini daripada grup tanam2an di FB. Terima kasih kepada penyumbang idea ini. Nampak tak botol2 plastik tu? Macam mana nak buat? Macam mana ianya berfungsi?
Saya gunakan botol bersaiz 1.5L. Cucuk di bahagian bawahnya dengan jarum. Buat 2 lubang. Jangan buat lubang besar pula. Nanti tak sampai seminit air dalam botol tu dah habis. Kemudian isilah botol tu dengan air. Tutup ketat2. Kadar titisan air yang menitis boleh dilaras dengan penutup botol tersebut. Maksudnya, kalau kita tutup ketat2, berkemungkinan air tidak akan menitis keluar langsung. Jadinya selaraskan dengan membuka sedikit penutup tersebut. Selaraskan sehingga kita dapat kadar kederasan titisan yang diperlukan. Kemudian letaklah botol tersebut di dalam pasu2 berkenaan. In shaa Allah...kalau nak tinggalkan rumah selama 2 hari pun tak perlulah risau pokok2 kita kekeringan.
Selamat mencuba!

Monday, September 7, 2015

Apam Beras aka Apam Nasi

 Kalau ada lebihan nasi, jangan dibuang. macam2 boleh dibuat dengan lebihan nasi tersebut. Salah satu daripadanya ialah apam beras. Kenapa namanya apam beras walaupun tidak menggunakan beras? Siapa kata tak guna beras? Tak ada beras...tak ada la nasi. Kan?
 Apam beras ni memang sedap. Saya suka gunakan tepung beras lebih daripada tepung gandum. Akan lebih terasa "kenasian"nya. Kalau gunakan lebih tepung gandum, rasa macam liat2 sikit. Pada saya tak berapa nak sedap. Tapi lain orang lain citarasanya. Ikutlah citarasa sendiri. 
Bahan-bahannya :
2 cawan nasi
2 1/2 cawan air
1 cawan gula 
1 cawan tepung gandum - resepi asal 2 cawan
3 cawan tepung beras - resepi asal 2 cawan
1 1/2 susu kecil yis kering (mauripan) - resepi asal 1 sudu kecil
Warna2 kegemaran
Kelapa parut putih + garam - digaul rata
Cara-caranya :
Ayak tepung gandum dan tepung beras ke dalam mangkuk besar. Masukkan mauripan kan gaul supaya mauripan rata di dalam tepung. Ketepikan.
Masukkan nasi dan gula ke dalam pengisar bersama 1 cawan air dulu. Blender hingga nasi elok hancur.
Kemudian tambahkan lebihan air dan blender lagi.
Tuang ke dalam mangkuk berisi tepung tadi dan kacau dengan whisk sehingga sebati.
Perap selama 3 hingga 4 jam.
Panaskan kukusan. Sapukan minyak dalam acuan kecil2.
Bahagikan adunan kepada beberapa bhagian mengikut warna yang kita suka. Warnakan setiap bahagian.
Tuang hampir penuh ke dalam acuan. Kukus selama 15 minit.
Ulang sehingga habis semua adunan. Boleh juga digabungkan warna2 pilihan...ikut suka.
Gaulkan dengan kelapa parut sebelum dihidangkan (saya tak gaul dengan kelapa sebab anak2 tak suka).
Warna kegemaran kami ialah merah jambu dan hijau. Selamat mencuba!

20th Anniversary - 22nd August 2015

 Alhamdulillah. 22hb Ogos 2015 genaplah usia perkahwinan kami 22 tahun. Dan seperti tahun2 yang lalu, memang tiada sambutan besar2an walaupun dah mencecah 22 tahun, Sekadar makan2 dengan anak2 walaupun tak cukup korum. Abang Yang tiada bersama kami. Dan seperti tahun2 sebelum ini, jambangan bunga ros memang tidak ketinggalan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sekuntum bunga ros je dah berapa RM. Sekarang ni harga barang2 semuanya mahal. Jadi, kena lebih berhemah dalam berbelanja.
22 tahun. 22hb Ogos. Meja no 22.
 Kami makan di sini sahaja. Melayan rasa tekak masing2. Saya memang nak mencari Coconut Splash.
 Spagheti carbonara untuk kami berdua, salad untuk Ayong, fish n chip untuk Adik dan chicken chop untuk Abang Ngah. Saya minum coconut splash satu mug besar. Suami dan Abang Ngah berkongsi satu mug coconut splash juga. Adik minum apple jus dan Ayong minum teh lemon.
Happy anniversary untuk kami. Semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat.

Thursday, May 21, 2015

Kek Pisang Kukus Gebu


KEK PISANG KUKUS GEBU

Bahan-bahan :
5 biji pisang berangan
4 biji telur
3/4 cawan gula
3/4 cawan minyak jagung
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder

Cara-cara :
  1. Panaskan kukusan.
  2. Ayak tepung bersama soda bikarbonat dan baking powder. Ketepikan.
  3. Masukkan bahan2 lain ke dalam blender dan kisar sehingga adunan menjadi gebu dan putih.
  4. Tuangkan ke dalam campuran tepung.
  5. Kacau dengan menggunakan whisk hingga sebati.
  6. Tuangkan ke dalam loyang. Kukus selama 45 minit.
  7. Boleh juga menggunakan loyang yang kecil2. Loyang yang saya gunakan ini adalah berdiameter 5 inci dan saya kukus selama 25 minit.

Monday, April 27, 2015

Perkhemahan Perdana SKTPP 2015 - Hari Terakhir

Hari terakhir perkemahan. Hari ketiga. Sekejap je 3 hari 2 malam. Tak terasa apa2 pun. Anak2 yang menyertai perkhemahan ini tentunya seronok. Dapat pengalaman. Ada yang dah biasa...ada yang pertama kali. Bagi anak2 yang dah biasa tu, mungkin ada pengalaman baru yang mereka timba.
Hari ketiga ni tak banyak program dah. Selepas sarapan, mereka dikerahkan untuk mengemakan khemah masing. Membersihkan kawasan perkhemahan dan kawasan sekitar. Mengutip sampah yang bertaburan dan mengemaskan segala yang perlu. Dah siap semuanya, mereka dikumpulkan di Dewan Warisan sebelum bergerak untuk minum pagi. Selepas itu berkumpul semula di Dewan Warisan.
Hadiah2 berupa hamper dah tersedia untuk kumpulan yang berjaya di dalam aktiviti yang diadakan. Juga ada hadiah untuk peserta terbaik lelaki dan perempuan. Hamper yang berbungkus tu sebenarnya setiap unit berunifom dapat. Yang dalam bakul tu untuk pemenang permainan2 yang disediakan.
Ini adalah anak2 dari SK Perigi Acheh yang turut serta dalam perkhemahan ini. 6 orang pelajar perempuan dan 3 orang pelajar lelaki. Semuanya dari unit berunifom TKRS.
Selesai penyampaian sijil dan hadiah, hamper yang mereka dapat tu terus dibuka dan dikongsi bersama. Dapat le merasa sikit sorang.
Habis makan jajan. bersiap sedia untuk balik. Ibubapa dah menanti di luar perkarangan sekolah.
Sebelum balik, mereka dibekalkan dengan makan tengah hari.

Sunday, April 19, 2015

Perkhemahan Perdana SKTPP 2015 - Hari Pertama

 Alhamdulillah. Dah selesai pun perkhemahan ni sebenarnya. Selama 3 hari 2 malam di Padang Serbaguna SKTPP. Bermula petang Khamis, 16hb April sehingga tengah hari Sabtu, 18hb April 2015. Adik turut sama dalam perkhemahan kali ini.
Adik pernah sekali je bermalam di sekolah semasa dia menyertai pemilihan untuk kawad kaki sekolah awal2 dulu. Dan Adik tidaklah lasak orangnya. Risau juga bila dia kata nak turut sama dalam perkhemahan ni. Awal tahun hari tu cikgu tak bagi dia join aktiviti yang agak lasak sebab risaukan keadaan kaki dia yang patah dulu tu. Sukan un cikgu masih belum benarkan dia sertai. Tak apalah...demi keselamaan dia juga.
Hari Khamis, 16hb April 2015. Hari pendaftaran perkhemahan. Jam 2:15 petang saya pergi menghantar Adik. Pendaftaran dijalankan di Dewan Warisan dan mengikut unit berunifom masing2. Mereka juga diberikan tag nama mengikut kumpulan masing2. 
Selesai pendaftaran di Dewan Warisan, anak2 di bawa naik ke Dewan Perdana di mana majlis pembukaan akan dijalankan. Tidaj seperti biasa di mana biasanya diadakan majlis penutup dan penyampaian hadiah. Kali ini majlis penutup tak ada sebab Guru Besar dan GPK yang lain tiada di sekolah pada hari terakhir perkhemahan nanti. Majlis telah dirasmiakn oelh Guru Besar SKTPP, Puan Hajjah Mardiana dengan iringan GPK Koko, En Rosli Abu Bakar dan juga GPK1, Puan Hajjah Norlida.
Selesai perasmian, anak2 di bawa turun ke Padang Serbaguna untuk mendirikan khemah masing. Mereka juga membuat pintu gerbang kumpulan dan menghias kawasan perkehamahn mereka. Seronok melihat kegembiraan dan keterujaan anak2 ini. Masing2 menyibukkan diri bersama guru2 unit masing2. Memandangkan Adik di Unit PBSM, saya pun turut menyibukkan diri bersama mereka. Hehehe...
Dalam pada anak2 sibuk dengan pendaftaran, perasmian dan membina khemah2, ada guru2 yang sedang memasak untuk makan malam mereka. Setiap unit berunifom akan mengambil giliran untuk menyediakan makanan untuk anak2 ini. Makan mereka mewah juga. Ada sarapan pagi, minum pagi (10:00 pagi), makan tengah hari, minum petang, makan malam dan supper. 
Perkhemahan ini turut disertai oleh 9 orang pelajar dari SK Perigi Acheh. Mereka terdiri daripada Unit KRS, 6 orang pelajar perempuan dan 3 orang pelajar lelaki.

Sebelah malam ada ceramah oleh Ketua Balai, Balai Polis TPP dan aktiviti Night Walk.
**********

Saturday, April 18, 2015

Birthday Abang Ngah - 11hb April

 Selamat menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-19 Abang Ngah!!! Moga menjadi anak yang soleh, berjaya di dunia dan akhirat. Kami sayang Abang Ngah! 
Pada 11hb April 1996, jam 2:26 petang dia dilahirkan di Hospital Besar Ipoh. Alhamdulillah. Cepat je masa berlalu. Dah 19 tahun umurnya. Dah jadi anak bujang yang boleh diharapkan. Dialah yang berada di sisi emak selalu sebab dia memang berulang-alik dari rumah je. Dan sekarang di semester ke-2 di Politeknik Ibrahim Sultan dalam jurusan Mekatronik. Bidang yang memang dia minat. Alhamdulillah.
 Kami raikan secara ringkas sahaja. Macam biasa. Sekadar makan2 sekeluarga. Kali ini dengan kehadiran Ayong yang kebetulan baru sampai pada petang tu. Cuti seminggu. Cuti pertengahan semester. Tapi tanpa kehadiran Abang Yang yang belajar di SDAR.
 
**********

Tuesday, April 14, 2015

Dia Datang Lagi...

 Allahhuakabar! Ingatkan semuanya dah berakhir setelah agak lama dia menyepi. Tapi kisah belum berakhir rupanya. Selepas kali kedua aritu, rasa lega sikit sebab dia lama dah tak datang. Tiba2 dia muncul semula hari ini. Kenapa? Kenapa saya?

Siapa dia???
Dia ialah bekas jiran kami di kejiranan ini yang mengalami tekanan emosi ataupun kerana gangguan lain. Orangnya dulu baik je. Lemah lembut. Ada 3 orang anak. Sangat penyayang orangnya. Kami berjumpa kalau ada majlis2 di kejiranan seperti majlis yaasiin dan lain2 majlis kenduri. Kalau saja2 nak ke rumah dia atau ke rumah jiran lain untuk berbual tu, saya tak pernah buat la. 

Apa cerita sebenarnya???
Ok. Meh sini saya ceritakan. Cerita pasal saya diganggu oleh bekas jiran saya tu. Bukan saya seorang je yang kena. Setahu saya ada 2 orang lagi jiran saya yang kena ganggu. Sebab sebenar kami diganggu...wallahhu'alam. Cara gangguannya pun lain2. Saya kena cara lain, jiran pertama cara lain dan jiran kedua juga cara lain. Saya dah kena 3 kali. Kali ketiga ialah pagi tadi.

Saya mula dengan kes pertama. Once upon a time...suatu masa dulu...saya tak ingat tahun bila tapi yang saya ingat ialah selepas saya berhenti kerja dan mula join kumpulan yaasiinan di kejiranan. Kes ini berlaku pun selepas dia berpindah ke taman perumahan lain yang berhampran juga dengan taman perumahan kami.
Satu hari tu dia datang ke rumah. Saya tak ingat samada saya sendirian di rumah ataupun ada anak2 di rumah. Dia parking mpv dia depan pagar. Dia turun kereta dan terus masuk dalam kawasan pagar rumah. Macam biasa la...bila nampak orang yang kita kenal datang, saya pun bukak la pintu rumah. Tapi gril masih bertutup walaupun tidak berkunci. Ingatkan dia datang nak jalan2 ke...datang bertanya khabar ke...datang ziarah ke. Rupa2nya dia datang sebab nak marahkan saya. Tau apa dia kata??
"Akak kalau nyanyi tu boleh tak jangan kata saya bodoh!". 
Aikkk...bila masa plak aku nyanyi ada sebut nama dia? Boleh pulak dia dengar kalau pun aku nyanyi? Dah le masuk kawasan pagar tak bagi salam. Bila bukak pintu tiba2 dihamburkan dengan ayat sebegitu. Tak terkejut ke dibuatnya? Terus terpaku saya. Tapi sempat juga saya bertanya balik, "Bila masa pulak akak nyanyi?"...walaupun masa tu dia dah berjalan keluar pagar semula dan terus berlalu pergi. 
Adoiiiii...pening kepala hakak!!!

Kes kedua.
Saya dalam rumah. Seorang diri. Pagar tak kunci. Grill tutup. Pintu pun berkunci, berselak dan berantai. Pintu gelongsor (sliding door) terbuka tapi bergril la. Sliding door tu memang selalu dibuka sebab senang nak nampak kat luar. Saya nampak kenderaan Wish kaler grey gelap berhenti depan rumah. Dia turun dan terus masuk. Saya intai / tengok dari tingkap aje. Tingkap...bukan sliding door ya. Dia berdiri di tempat yang sama macam kes pertama. Lebih kurang macam ni la "perbualan" kami hari tu :

Dia : Akak tau tak lagu Open Your Eyes, Maher Zain yang nyanyi?
Saya : Entah...tak tau plak.
Dia : Abang saya tu Datuk tau. Dia la yang hantar saya sambung belajar. Hari2 dia hantar dan jemput saya. Tapi pandai2 pulak orang kata saya ni tukang sapu la, cleaner la, tukang bersih2 la. Akak ada saham besar di Keck Seng kan? Nama akak ada kat senarai tu...Azita Zain tulisnya. Abang saya tu ada saham kat situ. Kenapa nama akak ada di sana? Akak jangan kacau Datuk tu. Dia abang saya. Ada nama2 lain lagi. Akak jangan kacau abang saya.

Haaaaa...apa korang nak kata kalau diserang sebegitu??? Untung la kalau saya ada saham besar kat Keck Seng tu. Kayo den! Den kayo! Tapi apa kaitan antara Keck Seng dan Maher Zain??? Cer kome jawab kejap...

Sejak daripada itu, bertambahlah kefobiaan saya. Saya takut kalau2 dia datang singgah lagi dan memberikan saya berita yang mengejutkan hingga kelu lidah nak berkata2. Setiap kali ada Toyota Wish kaler dark grey lalu je depan rumah, saya jadi takut. Dalam hati mulalah berkata2...Eh...dia ke? Jangan le dia singgah lagi. Jangan le dia buat hal lagi. Seboleh2nya saya tak nak bertembung dengan dia. Kalau saya nampak kenderaan yang sama jenis dan sama kaler, mesti saya cepat2 melarikan diri. Kalau saya di dalam kawasan pagar rumah, saya terus masuk rumah. Kalau tengah sidai kain ataupun tengah buat apa2, mesti saya berhenti dan terus masuk rumah. Pernah sekali yang bertembung dengan dia di Econsave. Memang tak boleh nak elak. Dia dengan suami dan anaknya. Saya dengan suami je. Bila saya nampak je dia, saya nak undur dari lorong tu dah. Saya berbisik dengan suami pasal dia. Suami saya kata buat biasa je. Adoiiii...dalam hati punyalah kecut! Jalan juga la di lorong yang sama. Mereka dari hujung sana, kami dari hujung sini. Kami tegur juga suaminya tapi dia masam je muka. Jeling kami pun tidak. Macam tak kenal je. Dalam hati berkata Alhamdulillah. Risau juga dia kata entah apa2 nanti. Selepas melepasi mereka...saya menarik nafas lega. Alhamdulillah!!! 
Saya dah kata dengan suami, kalau dia ganggu lagi saya untuk kali ketiga, saya akan buat repot polis. Kali pertama dan kedua memang dia tidak mendatangkan sebarang kecederaan. Tapi dia dan mengganggu hidup saya. Sebagai langkah berjaga2, saya akan buat repot polis kalau dia ganggu lagi. Dalam ramai2 jiran di kejiranan kami, kenapa saya yang dia pilih? Saya bukan le baik sangat dengan dia pun. Sekadar sebagai jiran je. Bukannya pernah ber-huh hah beriya2 pun dengan dia. Dia lebih rapat dengan beberapa orang lain jiran tapi bukan saya. Sebab saya hanya join kumpulan yaasiinan di kejiranan kami selepas saya berhenti kerja. Saya mengenali dia kejap je berbanding dengan jiran2 yang lain.

Kes ketiga. Pagi tadi. Sekitar jam 10:10 pagi. Saya baru habis siram pokok2. Saya tengah membelek pokok bunga raya yang ada masalah sikit. Sambil2 tu saya berbual dengan anak jiran sebelah yang balik cuti mid sem. Tiba2 ada Wish kaler dark grey berhenti depan rumah. Masa tu anak jiran tu dah masuk ke dalam rumah. Tinggal saya sorang kat luar. Saya dah tergamam bila nampak kereta dia. Saya dah tercegat je di situ. Dia turun kereta sambil pegang sehelai kertas. Saya cuba menenangkan diri. Dia berjalan menghampiri pagar dengan muka masam lebih masam dari buah yang paling masam. Buah apa ya? Kaki saya pulak macam terpaku je kat tanah tu...tak bergerak...berdiri tegak je. Sambil berkata "Nak akak...ada orang bagi", dia hulurkan tangan masuk melalui celah pagar dan meletakkan kertas tersebut di atas pokok bunga vinca yang paling hampir dengan pagar tu. Lepas tu dia terus memandu pergi. Bila dia dah pergi, baru saya meninjau2 kertas tersebut. Sayaa mbil kertas tu dan belek2 apa kebenda yang ditulis. Tak faham saya apa yang dia tulis sebenarnya. Saya gantung dulu kertas tu kat ampaian. Saya sidai baju sekolah Adik yang saya dah basuh 3 pasang. Lepas tu baru saya ambil kertas tu dan masuk rumah. Dan baru saya baca apa yang tertulis.
Korang faham tak apa yang dia tulis??? Saya cuma boleh faham ayat terakhir tu je... 
Allahhuakbar! Start dari saya baca kertas ni sampai ke tengah hari, pening kepala memikirkan apakah masalahnya antara dia dan saya. Lepas baca kertas tu, saya wassap suami. Bagitau dia pasal kunjungan yang tak diundang tu. Saya kata saya takut. Saya fobia. Tengah hari tadi saya telefon suami dia. Bagi tau pasal isterinya yang mengganggu saya. Saya dinasihatkan oleh suaminya untuk "buat tak reti je" kalau dia datang kacau lagi. Jangan ambil kisah pasal apa2 yang isterinya cakap. 

Selepas hantar Adik ke sekolah agama petang tadi, saya terus ke Balai Polis. Saya dah buat laporan tentang dia. Demi keselamatan saya dan keluarga saya. Tanpa ada tujuan lain. Sebab saya faham keadaan dia macam mana...emosi tak stabil. Cuma saya takut kalau2 masa emosi dia tak stabil tu dia buat macam2 pada saya dan keluarga saya. At least saya dah buat laporan polis. Polis yang terima laporan saya tu pun pening gak...

Wallahhu'alam. Moga kami sekeluarga dilindungi olehNYA dari sebarang musibah.

Wednesday, April 8, 2015

Malam Anugerah Ketua Jabatan

 Alhamdulillah. 26hb Mac 2015. Malam Anugerah Ketua Jabatan. Tema malam tu ialah Colour Block. Itu yang warna pakaian kontra habis tu. Hahaha...baju pink tu baju pinjam! Seluar baru beli. Jam dan kasut dan sedondon je. Malam tu ialah malam penyampaian sijil Ketua Jabatan untuk mereka yang cemerlang dalam peperiksaan akhir semester pertama dulu.
Alhamdulillah. Tahniah untuk Abang Ngah. Moga akan terus cemerlang di semester2 berikutnya dan juga cemerlang di akhirat. In shaa Allah.
******

Wednesday, April 1, 2015

Apam Pisang Gebu

 Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Hampir2 jadi arwah dah blog ni. Dah lebih sebulan tak dikemaskinikan. Kesuntukan masa sekarang ni. 
Sapa2 ada pisang lebih tu, kalau dah kehitam2an sikit pun tak apa, jangan dibuang. Jom kita buat "penganan" daripada pisang ni. Adunan yang sama boleh dikukus ataupun dibakar. Dikukus lebih moist daripada dibakar. Saya suka yang dikukus. Lembut. Gebu. Lembab. Nak kukus dalam lloyang besar pun boleh...nak kukus dalam saiz muffin pun boleh...nak kukus dalam acuan lompang yang kecil2 tu pun boleh! Pilih la sendiri ye... Jom tengok resepi.
Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
1 sudu kecil baking powder
1 sudu kecil soda bikarbonat
4 biji telur
8 - 10 biji pisang lemak manis
1 cawan gula
3/4 cawan minyak

Cara-caranya :
Panaskan kukusan.
Ayak tepung, soda dan baking powder bersama. Ketepikan.
Kisar semua bahan lain hingga adunan sebati.
Tuangkan ke dalam campuran tepung tadi. Kacau rata secara kaup-balik.
Sudukan ke dalam loyang kecil2.
Kukus selama 15 minit.
Nota :
Pisang boleh gunakan selain daripada pisang lemak manis. Kuantitinya bergantung kepada saiz pisang. Contoh yang saya gunakan ialah 5 biji pisang berangan atau yang bersaiz lebih kurang dengannya.
Pisang ini juga boleh dilecek sahaja tanpa dikisar. Jika dilecek, bahan2 lain selain daripada campuran tepung tadi boleh dikacau / dipukul dengan hand whisk sahaja. Kemudian campurkan dengan tepung dan kacau rata. Akhir sekali baru masukkan pisang yang telah dilecek tadi dan kacau rata.
Selamat mencuba!