Monday, November 21, 2022

Uzurnya Mereka...

 

EMAK DAN ABAH MENTUA

Kedua-duanya dah uzur.

Emak masih terbaring je. Hanya duduk waktu solat sahaja. Begitupun, penglihatan, pendengaran dan ingatan mak masih sempurna. Berbanding abah yang semakin susut segala-galanya 😥

Abah...
Dulunya seorang yang cergas, sekarang dah tak berdaya. Jalannya tiada upaya. Jika tiada yang menyorongnya di kerusi roda, dia hanya mengesot mengheret kain pelikat yang telah terburai ikatannya. Dipakaikan lampin pakai buang, kadang-kadang dibukanya kerana tidak selesa.

Daya ingatannya juga sudah sangat-sangat berkurang. Kadang-kadang, perkara yang sama diulang bicara kerap kali. Kadang-kadang, anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu, memperkenalkan diri sendiri barulah diingati. Bicaranya juga semakin sukar difahami. Pun begitu, abah tetap juga cuba berbual seperti biasa. Terkadang, bila tutur kata sukar diucapkan, abah menampar-nampar pipi dan mulutnya supaya apa yang ingin dituturkan itu keluar dari mulutnya.

Allahuakbar...
Semoga Allah permudahkan segala urusan PakAndak dan MakAndak dalam menjaga dan menguruskan mak abah. Terlalu besar pengorbanan mereka berdua dalam menjaga mak abah. Anak-anak menantu yang lain, hanya sesekali sahaja pulang menjengah. Ada yang pulang bermalam dan berusaha untuk berbakti kepada kedua-duanya, ada yang menjengah sekejap sahaja sekadar menunjuk muka.