Monday, July 18, 2011

Cerita Tertunda - Kenduri Di Muar


Hari Ahad minggu lepas (bukan Ahad semalam....!) ada kenduri untuk menyambut Ramadhan di Muar, di rumah MIL. Jadinya pagi Sabtu tu saya menyibukkan diri untuk menyediakan sedikit juadah untuk dibawa balik ke kampung. Nak buat semua ni di kampung memang tak sempatlah. Juadah yang sempat saya buat ialah Kek Pisang, Muffin Pisang dan juga Apam Comel versi polkadot.

 Muffin Pisang Choc Rise...

 Kek Pisang...

Apam Comel versi dot2...

Dengan kombinasi warna2 yang terang...


Kenduri tu diadakan pada hari Ahad, selepas waktu Zohor. Hari Sabtu malam tu kami dan bersiap apa yang patut. Menunya ialah NASI AMBENG, so memang banyak bahan2 yang perlu disiapkan terlebih dulu. Pagi Ahad tu kami menyambuung tugas selepas bersarapan. Semasa kami sibuk2 di dapur, Pak Su (adik hubby yang baru melangsungkan perkahwinannya awal Mei ari tu) balik dengan dua guni DURIAN...!!! Dua guni dengan harga RM30...memang amat berbaloi!!!!

Tengoklah isinya yang kuning tu dengan rasanya yang pahit2 manis gitu...!

Pak Ngah yang sedang menjamu selera dengan durian...

Adik pun HANTU DURIAN gak...!

Waktu tu saya tengah menggoreng karipap, tauhu dan tempe di dapur. Tak boleh jadi ni...terus tinggalkan dapur dan menjamu selera dengan durian gak dulu. Alhamdulillah...puas rasanya dapat makan durian. Memang sedap!!!


Di kampung masih mengekalkan prinsip gotong-royong kalau ada kenduri-kendara. Saudara-mara dan jiran2 terdekat mesti menghadirkan diri...bersama2 menyediakan juadah. Dan datangnya mereka bukan dengan tangan kosong je tapi mesti ada juadah yang dibawa bersama. Alhamdulillah...susah dah nak dapat situasi yang macam ni.


 Antara menu untuk NASI AMBENG...nasi putih di dalam dulang, lauk-pauk di dalam pinggan yang diletakkan ditengah2 dulang nasi (ada mee goreng, sayur goreng, tauhu goreng, tempe goreng, pajeri nenas, kacang panjang masak sambal, serunding kelapa, hirisan timun, begedil kentang), ada ayam masak kicap, ada kuih-muih sepinggan. Hari tu ada berbagai2 jenis kuih - apam comel dot-dot, pau inti kelapa (kaler hijau epal tu...), kek pisang, kek cokelat, cucur badak, kuih bakar, abok2, karipap dan juga chiffon pandan.

Selepas selesai majlis Yaasin, Tahlil dan Doa selamat, jamuan pun dihidangkan. Biasanya tetamu tidak makan di situ, sebaliknya mereka akan membungkus sendiri bahagian masing2 untuk dibawa balik. Kebiasaannya tetamu cuma menjamah buah2 dan kuih2 jer.

Setiap hidangan dibahagi kepada empat bahagian dan dibungkus dengan daun pisang dan surat khabar lama sebelum diikat dengan tali rafia. Siapa yang tak berapa pandai membungkus nasi ambeng ni, bungkusannya jadi tak kemas. Silap gaya boleh terburai segala isinya. Hehehe...saya sendiri belum pernah mencuba nasib untuk membungkus nasi ambeng ni. Nantilah...satu masa nanti saya akan tunjukkan skill saya (kena berguru dengan hubby dulu...)...!

Jet Naik Lori


Ini bukan cerita dongeng...ini adalah kisah benar!! Kisah sebuah JET yang terpaksa naik lori...! JET pulak bukan sebarang JET tapi JET yang TIDAK BOLEH TERBANG!!! Ada ke JET yang tidak boleh terbang??? Adaaaa........!!! Jet yang rosak... Tapi JET yang ini bukanlah yang yang boleh terbang tetapi rosak. Sebaliknya adalah TRAJET...MPV milik hubby. Mengalami masalah pam power stering yang bocor menyebabkan stering tidak boleh dipusingkan ke kiri ataupun ke kanan. Takkan ler nak go straight jer...kan??? Mana ada jalan yang lurus jer...

Trajet sedang ditarik ke atas lori. Skirt kat bahagian depan tu pecah jugak walaupun Wak tu berdiri di atas wayar yang menarik kereta tu. Wak ni tak cukup berat untuk menahan wayar tu daripada terkena skirt kereta tu...

Tragedi ini berlaku pada 8hb Julai lepas..hari Jumaat. Kebetulan pagi tu hubby pergi menghantar Ayong ke stadium sebab ada latihan pancaragam. Dalam perjalanan balik ke rumah, kereta tu menghadapai masalah pemanduan. Nasib baik tak jadi apa2 dalam perjalanan tersebut. Lepas tu hubby pergi kerja dengan menaiki si Kancil pulak. Tapi sebelum tu saya pesan supaya hubby balik sekitar jam 10:30 pagi sebab nak pergi ke SK Taman Pasir Putih, ada Hari Terbuka. Awal2 pagi tu saya kena menyiapkan tempahan cistat dulu. Then tunggu Adik balik dari sekolah agama baru boleh ke sekolah kebangsaan pulak.

Dalam 10:30 pagi tu, sampai aje di rumah, hubby terus telefon mekanik yang selalu service dan repair kereta tu. Katanya kena tambah minyak power stering dan hantar kereta ke bengkel. Then hubby terus ke kedai untuk membeli minyak stering. Selepas diisi dan enjin dihidupkan, minyak tersebut terus menyembur keluar dari bahagian bawah kereta. Terus hubby matikan enjin semula. Saya yang menengok ni naik ngeri pulak. Tapi hubby selamba jer.. Hubby telefon mekanik tu sekali lagi, minta hantarkan kereta tarik untuk tarik JET tu ke bengkel.


Trajet dah naik lori...


Masa ni Adik dah balik dari sekolah agama. Bukan main teruja sekali Adik melihat kereta di tarik ke atas lori. Selepas lori tersebut berlalu pergi, barulah kami bersiap2 untuk ke sekolah kebangsaan. Tapi sebelum tu saya menyiapkan sedikit buah tangan untuk guru kelas Adik (Tahun 1) dan Abang Yang (Tahun 6). 


Saya sediakn sedikit bluberry cheese tart sebagai buah tangan untuk guru kelas mereka. Memang ada stok tart crust tu, so selepas buat untuk tempahan pagi tu, saya terus buat untuk buah tangan ni pulak. 

Sampai aje di SKTPP, terus menuju ke kelas mereka yang berada di Tingkat 3. Aduiiii...mengah jugak memanjat tangga ke Tingkat 3 tu. Mula2 masuk ke Kelas 6A1...kelas Abang Yang. Guru kelasnya tak ada, yang ada cumalah guru pengganti. Alhamdulillah...keputusan Abang Yang amat membanggakan. Selepas tu barulah ke Kelas 1A8 pulak yang berada pada tingkat yang sama...cuma berselang 2 buah kelas sahaja dari Kelas 6A1. Juga tiada guru kelasnya. Cuma ada guru pengganti sahaja. Keputusan Adik pun amat cemerlang...semua dapat A.

Alhamdulillah...moga anak2ku berjaya di dunia dan di akhirat!!!

Sup Tauhu Telur



Ini bukannya menu untuk hari ini. Juga bukannya menu semalam ataupun kelmarin. Tapi menu ni dah minggu lepas lagi dah. Cuma tak ada masa nak mengemaskini je. Hari ini ada masa terluang, tu yang dapat mengadap komputer ni jap sebelum Adik balik dari sekolah agama.

Sup ni memang senang nak membuatnya. Rujuk di SINI untuk resepinya. Main campak2 jer. Tapi campak pun bukan sebarang campak. Korang ,esti campak ke dalam periuk...jangan pulak main campak2 ke dalam tong sampah ya!!! Tak jadi sup tu nanti....



Saturday, July 16, 2011

Rendang Pedas Ayam Dan Asparagus Lagi



Lebih kurang sama je dengan Asparagus Udang ari tu cumanya kali ini saya gantikan udang dengan hirisan daging ayam. Ada sedikit kelainan dari segi rasa dan keceriannya. Macam pucat jer rupanya...kan? Nak kan lebih berseri, bolehlah ditambah dengan hirisan cili merah....




Ini pulak ialah lauk kegemaran saya...Rendang Pedas Ayam Perak.
Anak2 pun cukup suka dengan rendang ini. Makan dengan nasi putih panas2 memang cukup uuummpphhh....! Tapi kali ini saya tidak memasaknya sehingga betul2 kering sebaliknya saya biarkan ianya sedikit berkuah. Sikittttt jer....!

Urap Pegaga




Resepinya sama macam Urap Pucuk Ubi cumanya kali ini saya tambah dengan udang kering kisar. Lagi sedap rasanya. Ada urap @ kerabu pegaga ni, lauk2 dan sayur2 lain tak perlu lagi dah. Ratah ni je dah cukup!



Thursday, July 7, 2011

Sukan Tahunan SMK Pasir Putih 2011


Majlis Sukan Tahunan SMK Pasir Putih 2011 telahpun selamat dilangsungkan pada hari Jumaat minggu lepas, 1hb Julai 2011. Majlis tersebut merupakan majlis tertutup. Hanya dihadiri oleh pelajar2 dan tetamu jemputan sahaja. Sebenarnya saya pun tidak tersenarai sebagai tetamu jemputan tetapi saya tetap menyibukkan diri untuk menghadirinya. Nasib baik dapat masuk ke kawasan sekolah. Pintu pagar utama tu sebenarnya siap berantai dan bermangga lagi. 

Masa sampai di hadapan pintu pagar sekolah, saya macam was-was...boleh ke masuk ni...sebab pintu pagarnya berantai dan bermangga. Selepas tu saya nampak ada sebiji buah kereta yang cuba masuk juga. Kereta saya, saya parking kat luar je. Lepas tu barulah nampak pak guard datang. Nasib baik pak guard bukakan pintu pagar. Bila saya masuk ke dalam, saya tengok tak ada pun orang awam @ ibubapa lain yang hadir. Yang ada cumalah tetanu2 jemputan sahaja seperti wakil guru dari sekolah2 di sekitar Pasir Gudang dan beberapa orang AJK PIBG. Saya pun buat muka selamba jer la...

Masa saya sampai tu, majlis telah pun dirasmikan. Perasmian dilakukan oleh YB Dato' Haji Maulizan Bujang, ADUN Tiram.

 Pengetua, Cik Azizah bersama dengan Dato' Hj Maulizan dan juga YDP PIBG, En. Jasman.


Waktu tu, persembahan dah pun bermula. Masa tu persembahan senamrobik sedang berlangsung.Persembahan terpaksa dijalankan di dalam keadaan padang yang berlopak dan berair. Dah macam sawah padi pun ada...

Senamrobik oleh pelajar2 Tingkatan 2...

Selesai senamrobik, ada persembahan pancaragam oleh Pancaragam Sekolah Pasir Gudang (PGSB) yang terdiri daripada pelajar2 dari empat buah sekolah di sekitar Pasir Gudang iaitu SMK Pasir Gudang, SMK Pasir Gudang 2, SMK Pasir Gudang 3 dan juga SM Taman Nusa Damai. Ayong turut sama dalam persembahan ini.




Selepas tu ada juga persembahan silat yang digabungkan dengan persembahan taekwando dan yoyo cina. Abang Ngah pulak turut serta dalam persembahan silat ini.



Selepas tu saya sempat melihat dua acara sukan sahaja sebelum meninggalkan kawasan sekolah kerana bergegas pula ke SMK Pasir Gudang 1, ada pulak Hari Terbuka...nak ambil report card Ayong. Saya sampai di SMK PG dah hampir 10:15 pagi. Jenuh jugak mencari kelas 5 Sains 1. Rupa2nya mereka dah pindah ke bangunan baru. Cantik kelasnya. 

Wednesday, July 6, 2011

Asparagus



Asparagus...! Dah selalu sangat dengar nama sayur ni di merata2 tempat. Di telivisyen, di internet, di majalah2 dan di media2 cetak dan elektronik yang lain. Tapi baru ini kali pertama saya memasak asparagus. Sebelum ni pernah makan tapi di restoran. Masak sendiri belum pernah lagi. Hari tu masa pergi ke Maslee, saya ternampak asparagus ni yang dah diikat secekak2. Harganya tidaklah mahal sangat. Saya pun ambil seikat. Lepas tu beli udang sikit. Buat kawan dengan asparagus tu nanti.

Ini cerita dua minggu lepas. Bukan cerita hari ini, bukan juga cerita semalam dan bukan juga cerita esok. Cerita dua minggu lepas...! Teringin makan asparagus punya pasallah ni. Tengahari tu saya masak asparagus ni. Makan dengan nasi putih. Lauknya pulak ialah Ikan Kayu Manis (ni cerita lain kali ya...).


Memang sedap asparagus ni. Celur kejap dengan air panas. Sedap dimakan rangup2. Kalau terlebih celur, jadi tak rangup. Bila rangup tu, krup krap masa mengunyah. Masaknya pun simple jer. Sekadar tumis bawang putih cincang, tambah sos tiram dan air. Nakkan kuahnya pekat sikit, tambah tepung jagung + air. Kacau2...dah siap!


Sunday, July 3, 2011

Kek Untuk Abah



Hari Selasa lepas, 28hb Jun, merupakan hari ulangtahun kelahiran hubby. Dalam bulan Jun ni saja, kami meraikan tiga ulangtahun kelahiran...Ayong, saya dan hubby. Maknanya dalam bulan Jun saja kami makan kek tiga kali jugak. Tapi masa ulangtahun kelahiran Ayong yang lepas, kami tak dapat meraikan bersama2 sebab ada ada Band Camp.

Kek birthday untuk hubby kali ini adalah hasil kerastangan Ayong. Dia yang mem'baking' kek tu dengan berpandukan resepi Kek Madeira Cokelat. Kek ini memang sedap. Cuma hiasan untuk kek ini Ayong mintak tolong saya untuk mengajarnya. Hiasan dan deko yang ringkas aje. Kelam-kabut kami menyiapkannya sebelum hubby balik dari kerja. Nasib baik sempat...