Wednesday, September 12, 2018

Moist Fruit Pastry Cake

Selepas buat kek ini haritu, suami komplen kek ni agak kering. Memandangkan baki buah-buah dan sour cream masih ada, saya merajinkan diri membuatnya sekali lagi. Kali ini saya ubah sikit kuantiti bahan-bahannya. Caranya membuatnya masih sama. 
Apa yang saya ubah? Baki sour cream aritu saya masukkan dua kali ganda kuantiti asal iaitu 120gm - resepi asal cuma 60gm. Gula pula saya kurangkan dua sudu besar rata sebab pada saya resepi asal tu agak manis setelah dikombinasikan dengan buah-buahan segar tu. Tepung pula saya tambah sikit menjadi 220gm - asalnya 210gm. Dan saya tambah 3 sudu besar susu segar. Susu ni saya masukkan selepas saya masukkan tepung. Dan kali ini saya bakar dalam loyang foil yang kecil. Dapatlah 3 loyang.
 Dan inilah hasilnya. Keknya lebih moist / lembab dan kemanisannya secukup rasa - ikut tekak saya la. 



Friday, September 7, 2018

Bingka Labu Manis


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini nak kongsi resepi Bingka Labu pulak.

Labu ni Makndak Liza yang bagi masa kami balik kampung aritu. Selalu tu, kalau ada labu, saya buat lepat aje. Kali ini nak cuba buat bingka pulak. Kadang2 beli bingka labu tapi tak terasa pun labunya. Tepung je banyak. Jadinya saya selongkarlah blog Dapur Tanpa Sempadan kepunyaan CikMatGebu Adnan Ibrahim.

Saya suka makan bahagian yang garing di kelilingnya tu. Kalau masak Kuih Bakar pun saya akan bakar sampai betul2 garing. Dan kelilingnya tu saya yang punya! Sebelum ini saya belum pernah mencuba buat bingka labu. Ini kali pertama saya mencuba. Dan dalam masa 3 hari, dah 2 kali saya membuatnya. Resepi CMG ni memang sangat kena dengan tekak saya. Cukup lembutnya, lemaknya, manisnya, rasa "kelabuannya". Wallaaaa...! Bingka ini saya bakar dalam loyang 9" x 9" x 3", itu yang dapat nipis sikit tu. Kalau nak tebal sikit, gunakan loyang 8" x 8" x 3" ya.

Jom tengok resepinya. Resepi ini saya olah mengikut apa bahan yang ada di rumah saya ya. Nak dapatkan resepi original, pergilah jenguk blog Dapur Tanpa Sempadan tu. Bermacam2 resepi ada di sana dan memang boleh dipercayai 100%.

BINGKA LABU MANIS

Bahan-bahan :
  • 550gm labu manis yang telah dibuang kulit
  • 2 helai daun pandan - disimpul
  • 2 cawan tepung
  • 2 biji telur Gred B
  • 1/2 cawan gula dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu pekat manis dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu penuh krim (susu kotak)
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu besar mentega - dicairkan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • Bijan secukupnya - saya tak guna sebab tak ada stok 
Cara-caranya :
  1. Potong labu berbentuk kiub. Masukkan ke dalam periuk bersama dengan daun pandan dan rebus sehingga lembut. Buang daun pandan dan toskan. Lecek / lenyek labu sehingga halus. Ketepikan.
  2. Oles dasar loyang dengan marjerin / mentega. Alas dengan aluminium foil. Lebihkan foil di kelilingnya supaya senang untuk mengeluarkan bingka nanti. Oles aluminium foil dengan marjerin / mentega. Tujuan foil ni juga supaya bingka garing di bahagian keliling dan bawah tanpa menghanguskannya.
  3. Dalam bekas besar, masukkan telur, gula dan garam. Pukul dengan whisk hingga gula hancur.
  4. Masukkan santan, susu pekat manis, susu penuh krim dan esen vanilla. Pukul lagi hingga sebati.
  5. Masukkan tepung pula. Kacau hingga tidak bergentel2. Tapiskan adunan.
  6. Kemudian masukkan labu yang telah dilecek tadi. Kacau rata.
  7. Akhir sekali masukkan mentega cair dan kacau hingga sebati.
  8. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil tadi dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. 
  9. Keluarkan bingka dari loyang dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong.

 Rebus labu bersama simpulan daun pandan hingga lembut
 Lecek hingga halus
 Campuran telur, gula, garam, susu pekat manis, susu cair, santan dan esen vanilla
 Masukkan labu yang telah dilecek dan kacau
 Adunan setelah dicampurkan labu lecek
 Masukkan mentega cair dan kacau
 Loyang yang dialas dengan aluminium foil dan dioles dengan mentega di dasar dan kelilingnya
Adunan yang telah dituang ke dalam loyang dan sedia untuk dibakar.

Catatan : 
Saya gunakan santan kotak 200ml dan dibancuh menjadi 500ml / 2 cawan santan.
Saya oles seluruh permukaan aluminium foil supaya bingka tidak melekat pada foil nanti.
 Elok je bingka tidak melekat pada aluminium foil

SELAMAT MENCUBA!