Saturday, April 26, 2014

Adik Kemalangan

Allahhuakbar! Allahhurabbi! Hanya itu sahaja yang mampu saya ucapkan bila mereka menyampaikan berita Adik kemalangan.

Khamis. 24hb April, 2014. Jam 2:00 petang.
Hari ini memang sibuk sangat sebab banyak tempahan dan ada jadual untuk mengajar. Malam tu memang dah tak tidur sebab membuat 260pcs kulit tart, membakar 200pcs cream puff, membakar sebiji kek alunan kasih, membuat filling kastad untuk cream puff. Semua tu siap sekitar jam 3:00 pagi. Lelap sekejap. Jam 4:00 pagi bangun semula. Mula2 mengisi filling kastad. Siap mengisi 200pcs cream puff, packing dalam kotak. Selebihnya masukkan ke dalam bekas kedap udara, rezeki kakitangan PC Factory sebab hari ni mereka akan meraikan 4 orang kakitangan yang menyambut ulangtahun kelahiran dalam bulan April. Hubby minta saya buatkan sebiji kek untuk mereka.
Dah siap packing cream puff, mula nak mendeko kek alunan kasih. Kek tu saya bancuh 2 adunan dan bakar dalam loyang bersaiz 12"x16"x3". Saya gunakan fresh cream untuk frosting dan deko sikit2 je. Simple je. Dan bahagian atasnya saya susun buah2an. Minta tolong Abang Ngah untuk mencari buah2an tersebut. Tak ada pulak buah stroberi. Abang Ngah cuma dapat kiwi, anggur merah, anggur hitam dan anggur hijau. 
Jam 9:00 pagi, minta tolong Abang Ngah hantarkan 4 kotak cream puff kepada Cikgu Ayu di SKTPP. Lepas tu baru dia pergi cari buah2an. Jam 11:45pagi pulak, pergi hantar kek ke Tanjung Langsat, ke Kiswire - PC Factory. Jam 12:50 tengah hari pulak pergi ambil Adik balik dari sekolah. Selepas makan, sekitar jam 1:40 pm, Adik pergi mengaji pulak dengan menaiki basikal.
Dalam masa yang sama, saya menyiapkan tempahan cistat. Ada 4 orang menempah cistat dan tat buah. 180pcs bluberi dan stroberi cistat dan 30pcs tat buah. Alhamdulillah. Siap membakar cistat sekitar jam 1:30 tengah hari. Dan terus pacing 50 pcs untuk Zila yang akan datang pick-up jam 2:00 petang. Yang lain2 tu belum packing lagi. Siap solat Zohor, mula membancuh buttercream untuk cikgu2 dan murid2 yang akan datang sekitar jam 2:00 petang untuk belajar mendeko kek untuk pertandingan pada hari Sabtu. Maka berbunyilah mixer besar saya...
Tiba2 terdengar suara budak2 memberi salam. "AssalamualaikumCik Ita. Azri accident dengan kereta. Dekat Jalan Selayang...ujung sana. Tapi sikit je". Allahhuakbar! Bila dengar je perkataan accident, terus saya jadi ngelabah. Pakai apa saja yang tercapai dek tangan. Matikan mixer. Ambil kunci rumah. Ambil telefon. Keluar rumah. Kunci pintu dan gril. Pakai selipar. Terus berjalan laju menuju ke tempat kemalangan. Jauh pulak tu dari rumah. Walaupun dah berjalan laju, terasa lambat pulak nak sampai. Akhirnya berlari2 anak. Bayangkan...dengan berskirt dan berselipar saya berlari2 anak. Dah le jarang2 beriadah. Allahhurabbi! Mengah semacam rasanya. Orang menegur pun dah tak peduli lagi. Hati nak cepat sampai ke tempat kejadian je.
Masa sampai ke Jalan Selayang, Adik dah terduduk sambil bersandar pada seseorang. Ada 2,3 orang lain di situ. Kata mereka, Adik melanggar kereta selepas keluar dari simpang tiga berhampiran. Kereta yang dilanggar pun masih situ. Saya pulak masih tercungap2...tak cukup nafas sebab berlari. Allah! Allah! Allah! Adik tak boleh bergerak sebab sakit kaki kanan kalau bergerak. Bahagian2 lain tak banyak yang cedera, cuma tangan kiri yang banyak calar2 dan lebam2 dan dah membengkak. Mereka suruh hantar ke hospital. Dengan bantuan mereka, Adik diangkat masuk ke dalam kereta yang kena langgar tu dan kami menuju ke Hospital Penawar (HP).
Sampai di HP, Adik di angkat ke atas pengusung dan masuk ke Wad Kecemasan. Terus diperiksa oleh doktor yang bertugas. Pembantu2 pun membersihkan luka2 lain. Tangan kiri dipakaikan anduh sebab tak boleh bergerak. Sakit kata Adik. Kaki kanan pula dipakaikan...tak tau apa namanya...tapi untuk support supaya kaki tidak bengkok. Pemandu kereta masih di situ...memerhatikan keadaan Adik juga. Dalam masa yang sama, hubby saya pun sampai. Saya telefon dia semasa saya dalam perjalanan ke HP. 
Selepas tu Adik di bawa ke Imaging Center. Mula2 buat MRI. Alhamdulillah...tiada apa2 yang perlu dirisaukan pasal kepala Adik. Cuma ada bengkak besar di bahagian belakang kepala. Mungin sebab dia jatuh terlentang. Ti da pendarahan di dalam. Selepas tu buat x-ray bahagian tangan, dada dan kaki. Lama juga menanti di luar bilik x-ray.

Dah siap x-ray, kami kembali ke Wad Kecemasan. Doktor menayangkan keputusan MRI dan x-ray. Yang lain2 semua ok, tapi bila tiba tang kaki...ALLAHHUAKBAR! Lemah semangat melihat apa yang ditayangkan. Memang nampak nyata bahagian yang patah. Mengalir juga airmata saya melihat keadaan Adik. Kata doktor pembedahan mesti dilakukan untuk membetulkan kedudukan tulang yang dah lari dari kedudukan asal. Dan wayar akan dimasukkan untuk mencantumkan bahagian yang patah tu. 
ALLAHHURABBI! Tiada pilihan. Mesti kena buat. Tapi kena puasa 5 jam dulu. Kata doktor, mungkin selepas Maghrib. Sementara menanti waktu pembedahan, Adik di tempatkan di Wad 214. Bilik 4 orang tapi cuma Adik sorang je yang menghuninya. Jururawat datang membuat bacaan tekanan darah. Ishhh...takkan le tinggi sesangat bacaannya!
2,3 kali bacaan dibuat. Masih menunjukkan bacaan yang terlalu tinggi. Bengong kot mesin ni. Akhirnya jururawat gunakan cara lama...yang main pam2 tu. Haaa...yang tu baru normal. 
Tiba masa untuk menukarkan baju Adik kepada baju pembedahan. Jenuh juga nak membuka t-shirt dan seluar sukannya. Seluar dalam pulak terpaksa digunting. 
Jam 6:00 petang, Adik dibawa masuk ke OT. 
 Jam 6:40 petang, doktor yang bertugas berjalan keluar dari OT. Katanya pembedahan dah selesai. Cuma tunggu Adik sedar je. Jam 7:00 malam barulah Adik ditolak keluar dari OT menuju ke wad semula.
Kaki kanannya tidak disimen penuh. Cuma diletakkan penyokong di bahagian belakang kaki je dari pergelangan kaki hinggalah ke pangkal peha. Masa ni dia kena selalu dikejutkan supaya tida terus menerus tidur sahaja. Sementara Adik masih belum sedar sepenuhnya, saya ambil kesempatan untuk balik ke rumah dulu...untuk membersihkan diri. Sebelum kembali semula ke HP, saya siapkan bekalan kain baju untuk persalinan Adik. Selepas saya kembali ke HP, hubby pulak balik ke rumah untuk membersihkan diri sebelum datang semula ke HP dan kami bermalam di sana. Tapi biasalah...kalau bermalam di hospital, mana mau lelap sangat. Asyik terjaga je. Lagipun tak ada tempat yang selesa nak tidur di hospital.

Jumaat, 25hb April 2014.
Terjaga awal2 pagi sangat. Adik memanggil2. Allahhuakbar! Pantang le emaknya hilang dari pandangan. Tak abis2 bertanyakan abahnya mak di mana. Kalau boleh nak emaknya berada 24 jam di depan mata. Itulah anak...kan! Apa2 hal mesti cari emak. Hubby dah balik awal sebab kena masuk kerja. Sebelum Adik sarapan, saya lapkan dulu badannya. Salin bajunya. Sarapan pagi ni cuma 2 biji kuih dan secawan milo. Saya? Saya tak sarapan pun. Jam 10:00 pagi, Abang Ngah sampai. 10:30 pagi saya pulak balik sekejap. Membersihkan diri. Dalam perjalanan balik, singgah di rumah Kak Anne, rumah di mana Adik kemalangan tu. Saya bertanyakan macamana dan bagaimana kejadian tu berlaku. Kak Anne pun tak nampak kejadian tu. Bila dengar bunyi kuat berdentum, barulah Kak Anne keluar. Cuma nampak Adik dah terbaring. Basikal, songkok dan selipar Adik ada di rumah Kak Anne. Selepas membersihkan diri, saya kembali ke hospital. Hari ni hari Jumaat. Abang Ngah nak solat Jumaat.
Semasa bacaan tekanan darah diambil, sekali lagi bacaannya menunjukkan sangat tinggi. Padahal Adik bukanny ada sebarang penyakit maupun alahan.
Masa terserempak dengan doktor di ruang rehat sebelah Wad 214 tu, saya bertanyakan keadaan Adik. Tanyakan juga samada boleh discharge atau tidak. Duduk di hospital pun bukannya boleh buat apa. Setakat jururawat bagi makan ubat je. Akhirnya doktor bagi kebenaran untuk discharge. Tapi kena pastikan Adik pandai guna tongkat dulu. Masa tu doktor terus buat dressing pada luka Adik. Doktor potong balutan bandage. Dan buka tutupan kapas pada benjolan di lutut tu. YaAllah! Rupa2nya yang berbonjol tu ialah lebihan wayar yang dimasukkan. 
Inilah lebihan wayar yang terjojol tu. Ngeri nengoknya! Bukan satu...tapi ada dua. Lagi satu di sebelah kanan lutut. 
Inilah rupa kedudukan wayar yang dimasukkan. Itu sebab ada dua jojolan wayar di luar kulit. Allahhurabbi! Ujian untuk Adik. Ujian untuk emaknya juga. 
Selepas Adik belajar berjalan menggunakan tongkat, Adik dibenarkan balik. Kami meninggalkan HP sekitar jam 8:00 malam. Hubby memandu dengan perlahan. Siap pasang hazard lagi sebab Adik kat sakit kalau hubby bawak laju2. Sampai rumah jam 8:30 malam. Ruang tamu terpaksa dirombak. Katil bujang dibawa turun untuk kemudahan Adik. 
***

Tuesday, April 8, 2014

3 Majlis Serentak Dan Berita Sedih

 Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada hari Ahad yang lepas, telah berlangsung 3 majlis serentak di Sekolah Agama Taman Pasir Putih (SATPP). Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW, Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Kali Ke-2 dan juga Anugerah Kecemerlangan Pelajar 2013.

Perarakan Maulidur Rasul bermula seawal jam 7:15 pagi. Program mendapat kerjasama daripada pihak polis yang memabantu mengawal lalulintas. Sebahagian daripada jalanraya ditutup untuk perarakan tersebut. Daripada pintu pagar sekolah, mereka membelok ke kiri hingga ke simpang pertama dan membuat pusingan-U di situ. Dari situ mereka berarak sambil berselawat dengan iringan paluan kompang hinggalah ke simpang tiga yang menghala ke Jalan Selayang. Dari situ mereka memasuki Jalan Selasih 1 hinggalah ke hujung jalan sebelum keluar semula ke jalanraya berhampiran taman permainan dan kembali semula ke kawasan sekolah. Berpeluh jugaklah. Hubby saya pergi seawal jam 7:20 pagi. Tapi tiada ibubapa yang menyertai perarakan tersebut. Jadinya hubby saya cuma berdiri je di susur menunggu bas dan memerhatikan perarakan tersebut. Gambar2 ni pun cuma hubby snap menggunakan handphone saja.
 Selepas murid2 bergerak masuk ke kawasan sekolah, hubby balik semula ke rumah. Kemudian kami keluar bersarapan dahulu sebelum kembali semula ke sekolah untuk majlis seterusnya. Sebelum tu kena daftar nama ibu dan bapa dulu di kaunter pendaftaran.
 
 Ayong dan Abang Ngah...
Tak banyak snap gambar hari tu sebab macam tak ada mood. Tujuan pun sebab nak tengok Adik menerima anugerah. Adik dapat tempat kedua dalam kelas dia tahun lepas. Semasa Mesyuarat Badan Kebajikan berlangsung, murid2 yang bakal menerima anugerah ditempatkan di bahagian belakang dewan mengikut kelas masing2. Macam2 kerenah mereka sementara menanti majlis anugerah.

Semasa mesyuarat sedang berlangsung, saya menerima panggilan daripada emak di kampung. Kata emak, bapa saudara saya - abang sulung emak - sedang nazak di hospital. Pak We dimasukkan ke hospital pada hari Jumaat lepas, sekitar jam 3:00 pagi kerana tidak sedarkan diri. Pak We memang ada penyakit dan memang duduk di atas kerusi roda je...sukar untuk berjalan sebab sakit bahagian kaki. Dalam sekitar jam 11:50 pagi, saya menerima panggilan pula daripada adik saya menyatakan bahawa Pak We dah pergi meninggalkan kami. Qaluinnalillahhiwainnailaihirojiun. Daripada DIA kita datang, kepada DIA jua kita kembali. Al-Fatihah untuk arwah Pak We. Selepas mendapat berita tersebut, saya mengajak hubby balik ke kampung. Dalam masa yang sama saya menghubungi sepupu saya yang juga tinggal di P.Gudang dan dia juga nak ikut balik kampung bersama kami. Kami meninggalkan majlis di SATPP semasa ceramah Maulidur Rasul oleh Pegawai Pendidikan Agama Daerah JB, Tuan Haji Mohd Fauzi bin Arshad sedang berjalan. Selepas menyiapkan bekalan yang perlu, kami terus bertolak balik ke kampung. YaAllah...selamtkanlah perjalanan kami.
Alhamdulillah. Kami selamat sampai ke kampung pada waktu Maghrib. Hubby dan saya bergilir2 memandu. Hubby memandu dari P.Gudang hingga ke R&R Pagoh. Di situ kami bertukar memandu dan saya memandu hingga ke R&R Dengkil. Selepas menjamu selera sekitar jam 3:30 petang di situ, kami meneruskan pemanduan. Hubby memandu hingga ke Hentian Tanjung Malim. Di situ sekali lagi kami bertukar memandu dan saya memandu hingga ke kampung. Alhamdulillah.