Allahhuakbar! Tak pernah saya mengalami situasi yang begitu. Pengalaman bersalin tidaklah seteruk pengalaman saya tumpah darah yang amat mengerikan. Sebelum ini pun saya pernah keguguran sebanyak dua kali tapi tidaklah seteruk kes yang ini. Seperti yang saya maklumkan di entry sebelum ini, saya memang disahkan mengandung tetapi kandungan saya tidak dapat diselamatkan. Bila dibuat imbasan, tiada janin di dalamnya. Yang ada hanyalah kantung / kelongsong yang dah kosong. Dan kami diberi dua pilihan...samada untuk dibuat D&C ataupun tunggu ianya keluar secara normal sahaja. Dan kami (hubby dan saya) memilih pilihan yang kedua.
Selepas mendapatkan pengesahan di hospital berhampiran, hari-hari yang berikutnya saya mengalami pendarahan yang biasa seperti orang datang bulan. Cuma ianya lebih sakit daripada yang biasa saya lalui semasa datang bulan. Kadang-kadang ada juga ketulan yang keluar. Setiap kali ada ketulan, saya akan check samada kantung / kelongsongnya keluar bersama-sama tetapi masih tiada. Sehinggalah ke hari Isnin lepas...4hb Februari 2013. YaAllah...hanya Allah sahaja yang tahu derita yang saya tanggung.
Seperti hari-hari biasa, saya akan menyediakan sarapan. Sekitar jam 8:00 pagi hubby akan ke tempat kerja. Selepas itu biasanya saya akan menghantar Adik pergi mengaji. Tapi pagi itu saya tidak berbuat demikian kerana hujan renyai-renyai. Lagipun saya rasa amat tidak selesa pada pagi tersebut. Pagi itu saya buat Roti Sosej dan Cheese Gulung untuk Adik. Semasa sedang menggulung roti, terasa sesuatu keluar di bahagian bawah. Terus saya masuk ke bilik air dan membersihkan diri. Bila seketul besar yang keluar, terasa lega sedikit. Selepas itu saya menyambung tugas yang tergendala tadi. Tak sempat nak menggoreng, sekali lagi ianya menyerang. Kelam-kabut masuk ke bilik air lagi. Allahhuakbar...seketul lagi keluar tetapi masih tanpa kelongsongnya. Sedang saya menggoreng, sekali lagi terasa ianya hadir setelah saya terbersin. YaAllah...kali ini lain macam rasanya. Sempat juga saya menyudahkan penggorengan. Terus saya naik ke tingkat atas...ke dalam bilik air di dalam bilik sendiri.
Dari sinilah bermula segala-galanya. Selepas saya membersihkan mana yang patut, saat saya ingin melangkah keluar dari bilik air, darah terus keluar dengan sendirinya menuruni hingga ke hujung kedua-dua belah kaki. Saya bersihkan lagi. Dengan tiba-tiba, ianya mengalir lagi. Saya bersihkan lagi. Dan begitulah seterusnya tanpa henti. Akhirnya saya jerit kepada Adik yang berada di tingkat bawah untuk membawakan telefon bimbit saya. Terus saya menghubungi hubby, meminta hubby balik sebab saya dah tak boleh keluar dari bilik air tersebut. Tak boleh keluar sebab darah yang mengalir dan ketulan-ketulan darah yang keluar tanpa henti. Waktu itu sekitar jam 8:30 pagi. Daripada berbaju, saya bukak baju sebab baju yang saya pakai dah basah dek jirusan air yang berterusan. Yang tinggal hanyalah bra sahaja. Itupun dah basah lencun juga. Daripada keadaan berdiri, saya duduk di atas lantai bilik air dengan keadaan kedua-dua belah kaki saya lipatkan sehingga kedua-dua lutut saya bertemu dengan dagu. Dengan keadaan yang demikian dapat mengurangkan rasa sakit perut sebab kedua-dua belah paha menekan ke perut. Dalam masa yang sama, darah masih keluar tanpa henti. Kadang-kadang aliran darah merah sahaja, kadang-kadang bersama ketulan yang kecil-kecil dan kadang-kadang ketulan yang besar. Setiap kali ketulan besar yang keluar, saya akan check samada kelongsongnya keluar bersama ataupun tidak. Hampa...tiada kelongsong yang keluar.
Semasa hubby sampai ke rumah, hubby pun tak boleh nak buat apa-apa. Selesai hubby menguruskan pemergian Adik ke sekolah agama, hubby masuk ke bilik untuk menemani saya pulak. Memang nampak kerisauan di muka hubby melihatkan isterinya yang sedang menanggung kesakitan. Tapi apakan daya hubby untuk menolong. Tiada apa yang boleh dibuat waktu itu. Keadaan saya yang tidak membenarkannya. Nak keluar dari bilik air pun tak boleh, apa yang boleh ditolongnya...kan? Tak tahu berapa banyak air yang dah saya jiruskan untuk membersihkan aliran dan ketulan yang keluar.
Setelah hampir jam 11:30 pagi, barulah saya boleh keluar dari bilik air...setelah aliran dan ketulan yang keluar semakin berkurangan. Keluar dari bilik air dengan keadaan keliling rasa macam berpusing. YaAllah...nasib baik sempat berpaut pada singki dan pintu bilik air. Kalau tidak, dah tentu saya dah terjatuh dalam bilik tersebut. Cepat2 hubby memapah saya ke katil dan membaringkan saya. Hubby terus turun ke tingkat bawah untuk menyedikan sarapan saya sebab saya belum sempat bersarapan pagi tu. Saya cuma makan sebiji roti sosej dan cheese gulung bersama dengan secawan Nescafe. Lepas tu saya merebahkan diri semula di atas katil. Terasa lega sikit kesakitan. Hubby pula sibuk menyiapkan Adik untuk ke sekolah kebangsaan pulak. Tugas-tugas saya dah diambilalih oleh hubby.
Selepas Adik dah ke sekolah, hubby sama-sama merebahkan diri di sebelah saya sambil mengusap lembut perut saya...cuba meredakan kesakitan. Sayu hatinya melihat keadaan saya. Masa tu saya cuma bertuala kerana masih berulang-alik ke bilik air. Tak sedar bila masanya mata terlelap. Masa tu perut masih lagi menyengat rasanya. Bila saya post di FB, semua kenalan, teman, rakan dan sahabat menyarankan agar saya ke hospital secepat mungkin. Saya terus membuat panggilan ke hospital di mana saya membuat imbasan pada minggu lepas dan menetapkan untuk membuat prosedur D&C secepat mungkin. Alhamdulillah...saya telah dihubungi kembali oleh pihak hospital dan menyatakan bahawa prosedur tersebut boleh dijalankan secepatnya. Kami bergegas ke hospital dan saya ditahan di wad sementara menanti doktor yang bertugas selesai menyambut kelahiran seorang bayi.
Sebelum prosedur D&C dijalankan, saya kena berpuasa sekurang-kurangnya enam jam. Kali terakhir saya makan ialah sekitar jam 11:30 pagi. So sepatutnya sekitar jam 6:00 petang prosedur tersebut sudah boleh dijalankan. Jam 6:00 petang, saya ditolak masuk ke dalam labour room untuk proses imbasan sekali lagi. Pada masa yang sama tangan saya dicucuk untuk dimasukkan air. Berkerut juga muka menahan kesakitan semasa dicucuk! Lepas tu pakaian ditukarkan ke pakaian untuk masuk bilik pembedahan...pakaian yang hanya sekeping tu...yang bertali kat belakang tu. Biasalah...nak pakai pakaian sekeping tu, yang lain-lain semua kena bukak.
Selepas itu saya terus ditolak masuk ke operation theater. Ngeri jugak sebenarnya tapi mengenangkan sakit yang masih menyengat di perut, saya buang jauh-jauh rasa ketakutan tersebut. Sampai dalam bilik pembedahan, seorang doktor bius sedang menanti. Tapi doktor tu tidaklah serius semasa menghadapi pesakit. Dia buat kelakar. Siap menyanyi-nyanyi lagi tu. Dia tanya, "Kalau tidur ni, berdengkur tak?". Sambil ketawa saya jawab, "Dah tidur mana nak tau berdengkur ke tidak". Hahaha...semua yang ada kat situ ketawa. Ada seorang nurse tu menyampuk, "Haaaa...kan betul! Semua orang akan jawab cam gitu", katanya. Dalam masa yang sama, kedua-dua tangan saya dah didepangkan. Tangan kiri berada hampir dengan Doktor Bius tu manakala tangan kanan dah dibalut untuk mengetahui tekanan. Tiga wayar dilekatkan di bahagian dada. Doktor Bius tu kata, kalau rasa nak tidur...tidurlah. Memang betul pun...terus terasa terawang-awang sebab dalam masa pok pek pok pek tu, ubat bius disuntik melalui tangan kiri saya tu. Sakit rasanya bila ubat bius tu disuntik. Akhirnya saya tidak sedarkan diri....
Selesai operasi, terasa saya dikejutkan. Saya dipindahkan ke wad biasa. Biasalah...dah kena bius...mamai je rasanya. Nurse kejutkan untuk pindah ke katil sebelah. Dalam sedar tak sedar tu, mengesot juga ke katil sebelah. Selepas tu....tak sedar apa-apa dah. Bila buka mata, terus terpandangkan jam yang tergantung di dinding berhampiran...sekitar jam 7:30 malam. YaAllah...dah malam rupanya! Tak lama selepas tu, hubby sampai bersama dengan Adik. Ada hidangan di atas meja di hujung kaki...bubur nasi, sup dan sebiji pisang. Adik yang habiskan. Masa tu perut saya memang lapar. Maklumlah kena puasa sebelum operasi tadi. Berkongsi sedikit bubur dengan Adik sekadar untuk mengalas perut.
Bila dah sedar sepenuhnya, barulah saya memerhatikan sesuatu yang di dalam bekas bertutup kuning ini. Apa bendanya ni? Inilah benda yang telah dikeluarkan. Tak taulah apakah bendanya ini... Bila doktor datang melawat, terus saya minta discharge juga pada malam tu. Alhamdulillah...discharge pada hampir pukul 11:00 malam. Masa buat pembayaran di kaunter farmasi, terbeliak juga biji mata tengok kosnya. Hmmm...apa-apapun, alhamdulillah kerana dipermudahkan segala urusan olehNYA. Hilang sudah kesakitan yang melanda. Poket pulak yang sakit lepas tu...hihihi.