Wednesday, June 19, 2019

Ziarah Raya 3 Syawal 1440H - Siri 2

 Masih lagi di 3 Syawal 1440H. Hari Raya ketiga. Hari Jumaat.

Sebelah petang, kami berkunjung pula ke rumah adik saya yang ke-2. Di Taman Maamur, Sg Siput. Kami pergi ikut jalan belakang. Melalui Kg Ulu Kuang hingga ke Kg Jaya Setia. Tiba di simpang tiga menuju ke Jalong, kami belok ke kiri menghala ke Sg Siput. Ikut jalan kampung tak jammed.

Hidangan istimewa dia setiap kali raya ialah sup tulang. MyKanda tak boleh makan daging merah selain daripada daging kambing. So semalam dah buat "special request" untuk dapatkan sup kambing. 
AbangYang pandai makan sup gear-box ni. Disedutnya segala benda dalam tulang tu. MakYang dia dok perhatikan aje dia menyedut.
Alhamdulillah. Adik-beradik yang lain pun turut sama hadir. Penuh rumah dia dengan adik-beradik dan anak-anak sedaranya. Kami balik dalam pukul 6:30 petang. Masa tu memang jammed teruk hingga ke pekan Sg Siput. Jadinya kami mengambil jalan pintas. Alhamdulillah. Selamat daripada kesesakan lalulintas.

Selepas Maghrib, kami bergerak pula ke rumah adik saya yang ke-4. Nasib baik rumahnya dekat je. Adoiiii...lupa pulak apa menunya malam tu. Laksa ke? Ehhh...bukan! Bihun dan mee sup rasanya. 

Ok. Selesai ziarah ahli-ahli keluarga terdekat. Esok pagi dah nak gerak balik ke Johor. Kena gerak awal pagi untuk mengelakkan kesesekan di lebuhraya. 

Jom balik. Kemas kain baju pulak...

Ziarah Raya 3 Syawal 1440H

 3 syawal 1440H. 7hb Jun 2019. Jumaat.

Cuti raya tak panjang. Kena manfaatkan masa yang ada untuk menziarahi keluarga terdekat. Sehari sebelum tu dah ada Family Day, habis dah satu hari. Malamnya sahaja dapat berkunjung ke rumah abang sulung dan adik sebelah rumah arwah emak.

Hari ini, kami berkunjung ke rumah emak-emak saudara sebelah arwah abah pula. Mula-mula ke rumah MakLong, kakak arwah abah. Tak ada pulak orang kat rumahnya. Jadinya kami terus ke rumah MakYang pulak, kakak arwah abah juga. Alhamdulillah, dapat berjumpa dengan MakYang.
Inilah MakYang Zaiton. Kakak kepada arwah abah.

Selepas itu kami berpatah semula ke rumah MakLong. Saya intai di tingkap dapur. Rupa-rupanya MakLong berada di rumah belakang. Bila nampak saya, MakLong pun balik.
MakLong tinggal sorang diri di rumah masa tu. tu yang dia pergi ke rumah belakang tu, rumah adik sebapanya. Sebenarnya MakLong tinggal bersama anaknya yang bongsu sekeluarga. Tapi hari itu mereka balik ke kampung menantunya.
Inilah MakLong Aishah. Kakak kepada arwah abah. 

Pendengaran dah tak berapa elok. Jadinya kena bercakap dengan suara yang agak kuat dengannya. Adik-beradik arwah abah yang sebapa tinggal mereka berdua sahaja. Adik-beradik berlainan ibu masih ramai lagi.

Dari rumah MakLong, kami menuju ke rumah Chu Faridah pula. Chu ni ialah BFF arwah emak. Sama-sama ibu tunggal. Chu ialah isteri kepada arwah adik arwah abah. Adik bongsu.
 Chu-lah kawan emak di masa susah dan senang. Tempat emak mengadu hal anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya. Tempat arwah emak meluahkan isi hatinya. Sehari Chu tak datang ke rumah, mesti mereka saling berhubung melalui telefon.
 Bila arwah emak pergi dulu, Chu-lah orang yang paling terasa kehilangan arwah emak. Berapa lama Chu tak datang ke rumah sebab bila dia datang ke rumah, dia akan teringatkan arwah emak. Sekarang ni, Chu menjadi tempat bermanja Maksu...
Inilah Chu Faridah...

YaAllah, Engkau kurniakanlah kesihatan yang baik kepada MakLong, MakYang dan Chu. Limpahkanlah mereka rezeki yang halal, umur yang berkat dan sentiasa dibawah limpah rahmatMU dan kasih sayangMU. Aamiin YaRabbal 'Alaamiin...

Monday, June 17, 2019

2 Syawal 1440H - Family Day Keluarga Arwah Haji Zakaria

 2 Syawal 1440H. Khamis. 6hb Jun 2019.
Family Daya Raya Keluarga Arwah Haji Zakaria dan Sa'niah.

Alhamdulillah. Seperti yang telah dirancang, program in telah diadakan di padang bola Kg Ulu Chemor. Diketuai oleh sepupu saya, Abu Hassan Shaari.

Arwah Haji Zakaria dan arwah Sa'niah mempunyai 8 orang anak :
1. Mohamed Rali - Arwah Pakwe
2. Mohamed Ghazali - AyahNgah
3. Hajjah Fatimah - MakYang
4. Mohamed Hashin - Ende
5. Ashah - Arwah MakAndak
6. Hajjah Radziah - Arwah MakNik - arwah emak saya
7. Osman - Arwah Pakcik - terkorban di medah perang di Gurun, Kedah
8. Hajjah Azizah - Wanchu

Alhamdulillah. AyangNgah, Ende, MakYang dan Wanchu dapat turut sama dalam majlis ini. Kedua2 abang mereka, AyangNgah dan Ende, dah sangat uzur. MakYang dan Wanchu masih cergas.

INi ada perjumpaan pertama kali secara besar-besaran ahli-ahli keluarga, anak, cucu, cicit, piut arwah Haji Zakaria. In shaa Allah, lepas ni kita boleh buat lagi program seperti ini dengan lebih teratur. 

Majlis dimulakan dengan bacaa Yaasiin, tahlil ringkas dan doa selamat. Ada juga acara untuk kanak-kanan dan orang dewasa, ada cabutan bertuah juga. Hadiah semuanya berupa hamper yang disumbangkan oleh setiap keluarga.

Terima kasih kepada pengelola majlis, Abu Hassan Shaari serta krew-krew yang bertugas.
Terima kasih kepada semua sepupu, emak dan bapa saudara yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis ini.

Juadah disediakan secara berkumpulan mengikut setiap keluarga. ALhamdulillah, bermacam-macam jenis juadah yang disediakan. Set nasi putih, laksa, lemamg dan rendang, kuih-muih, dan bermacam-macam lagi.

Alhamdulillah. Semoga ukhuwah sesama kita berkekalan hingga ke akhir hayat. Aamiin...


Lagi gambar-gambar di majlis tersebut di sini :

Saturday, June 15, 2019

1 Syawal 1440H / 2019M


1 Syawal 1440H | 5hb Jun 2019 | Rabu

Jam 4:00 pagi dag terjaga. Mungkin sebab dah menjadi kebiasaan di sepanajng bulan Ramadhan. Tapi disebabkan kena ABC di saat-saat akhir Ramadhan, maka jam 5:00 pagi barulah saya bangun.

Pagi  Aidil Fitri yang sedikit suram. Suram dek cuaca yang hujan di awal pagi. Suram dek rasa sebak di hati bila teringatkan arwah emak dan arwah abah, bila teringatkan AbangYang yang tak dapat bersama-sama di pagi 1 Syawal. AbangYang ada final exam petang nanti - dari jam 2:00 petang hingga jam 5:00 petang. Duduk sorang-sorang dalam bilik, menitis juga airmata. Sepatutnya tahun ni giliran berhari raya di Chemor. Tapi bila ditimbang-tara, kami menukar arah dari Chemor ke Muar. Beraya berama keluarga MyKanda dulu. Petang atau awal malam nanti baru bergerak balik ke Chemor.

AbangYang dah beli tiket ETS sebenarnya. Examnya habis jam 5:00 petang, tiket dia jam 9:00 malam ke Ipoh. Kami cuba untuk sampai ke Ipoh pada masa yang sama AbangYang sampai. Jadinya boleh la kami terus jemput dia di stesen KTM Ipoh.

Tapi plan juga berubah. Dalam perjalan balik ke Chemor nanti, AbangNgah akan singgah di Sunway untuk ambil dia. Tiket ETS tu kalau dia tak dapat jual, kira burn ajelah.
Pagi Syawal, kami mengenakan busana raya tahun-tahun yang lepas aje. Baju Melayu tahun lepas punya. Raya di Muar juga. Baju kurung pula tahun 2016 di Muar dan tahun 2017 di Chemor. Baju raya tahun ni ada tapi tunggu cukup korum baru nak pakai.

Pagi ni kami beraya ke rumah MakLah - kakak emak, rumah Kak Fatimah / Abang Usop - sepupu  MyKanda dan rumah Wak Peah - isteri arwah abang abah. Singgah rumah Wak Lan - abang abah - dia tak ada di rumah. Mungkin ke rumah anaknya.
Baju Melayu maroon ni raya tahun 2017 punya dan baju kurung kami pulak raya tahun 2015 punya.

Selepas solat Jumaat, barulah adik-beradik yang lain datang berkumpul di rumah emak abah.  Busana kami juga dari raya-raya yang lepas juga. Memang setiap kali raya macm ni. Selepas Zohor barulah kami adik-beradik berkumpul. BErsalam-salam dan bermaaf-maafan. Lepas tu kami akan menziarahi emak-emak dan bapa-bapa saudara sebelah emak dan abah. Ok...petang ni kami menuju ke rumah Wak Amat dulu - abang emak. Wak Amat dah sangat uzur. Daya ingatan dan daya penglihatannya dah sangat-sangat kurang.

Dari rumah Wak Amat, saya sekeluarga terus balik ke rumah. Adik-beradik yang lain ke rumah emak-emak dan bapa-bapa saudara yang lain. Kami dah pergi pagi tadi. Kami balik untuk berkemas pula. MyKanda kata nak bergerak selepas Maghrib. 

Catatan Perjalanan 30 Ramadhan 1440H

30 Ramadhan 1440H | 4hb Jun 2019 | Selasa

Selepas sahur dan selesai solat subuh, arahkan Adik dan AbangNgah untuk keringkan pakaian yang masih basah di ampaian. Malam tadi, AbangNgah dah pusing-pusing tengok kedai dobi. Penuh katanya. Dia pula bukan jenis yang suka menunggu, so dia balik aje tanpa mengeringkan pakaian. Pergi selepas subuh, alhamdulillah. Mereka guna dua mesin pengering.
 Selesai mereka mengeringkan pakaian, barulah bermula sesi memilih, mengasing, mengumpul dan mengemas pakaian mana yang nak dibawa balik ke kampung. Pakaian yang nak digunakan di Muar, kumpulkan kat sana. Pakaian yang nak dipakai di Chemor pula dikumpulkan di situ. Ayong gunakan luggage sendiri bersaiz S. Manakala kami empat beranak - MyKanda, AbangNgah, Adik dan saya - berkongsi satu luggage. Nak jimatkan ruang bonet katanya. Ok...ke Muar kami gunakan satu beg bersaiz M dan untuk ke Chemor pula kami gunakan beg bersaiz L. 
Bila dah dikumpulkan semua beg dan barang-barang yang nak dibawa balik, ooomakaihhhh...! Tiga buah beg pakaian, empat kotak songkok - dimasukkan ke dalam satu beg vinyl, empat kotak baju Melayu - dimasukkan ke dalam satu beg vinyl juga, satu beg selimut, satu beg bantal-bantal kecil, satu beg tuala mandi, beg-beg plastik berisi kerepek, kuih-muih, kek-kek lapis. 2 buah beg laptop, satu beg kasut. 

Bonet Myvi diisi dengan beg pakaian saiz S, beg selimut, beg bantal dan satu beg laptop. Beg kuih-kuih, kerepek dan kek lapis pula diletakkan di bahagian kaki penumpang belakang. Yang lain-lain, tunggu kereta satu lagi. 

Jam 9:30 pagi, Myvi bergerak dulu menuju ke kampung. AbangNgah, Ayong dan Adik.
 Sementara menanti MyKanda balik dari kerja, saya meneruskan kerja-kerja mengemas beg pakaian. O000makaihhhh....banyaknya lagi beg yang nak dibawa balik! Dua beg pakaian bersaiz M dan L, satu beg songkok, satu beg baju Melayu, satu beg tuala mandi, satu beg telekung, satu beg duit raya. Di bawah sana nun dah standby satu hamper, satu beg kasut, satu baldi toiletteries, satu beg ubat dan satu beg lappy. 

Siap dah packing semua. Jom angkut ke bawah pulak. Nanti senang MyKanda nak susun ke dalam bonet kereta. Berapa kali kena turun naik ni nak angkut semua? Mau turun 3kg lagi ni. Hahahhaaa... 
 Jam 12:00 tengah hari, MyKanda baru balik dari kerja. Alhamdulillah, kerja-kerja mengemas dah siap. Selesai membersihkan diri dan solat Zohor, MyKanda mengemas barang-barang ke dalam bonet kereta. Selesai je mengemas, kami terus bergerak balik ke kampung sekitar jam 1:40 tengah hari.

Dalam perjalanan, kami singgah mencari belanja Syawal di beberapa mesin buah institusi kewangan. Boleh dikatakan hujan di sepanjang perjalanan. Kadang-kadang lebat hingga menyukarkan pandangan, kadang-kala renyai-renyai sahaja.
Dalam perjalanan, MyKanda keletihan dan mengantuk. Tak ingin mengambil risiko, maka kami berhenti sekejap di R&R Machap Arah Utara. Rileks sekejap. MyKanda belek-belek handphone kejap. Nak minum kopi, masih dalam bulan Ramadhan. Tak sampai 5 mint berehat, MyKanda meneruskan pemanduan. Alhamdulillah. Kami sampai di kampung dalam sekitar jam 5:30 petang.

Alhamdulillah. Dapat berbuka dua kali dengan keluarga mertua - pada 1 Ramadhan dan pada 30 Ramadhan - pembuka dan penutup Ramadhan 1440H. 

Tuesday, June 11, 2019

1 Syawal 1440H - Perjalanan Balik Ke Chemor

Raya pertama di kampung MyKanda, kami sempat kunjung ziarah ke rumah Mak Lah, Kak Fatim, Wak Amat dan Wak Peah.

Pagi 1 Syawal, kami ke rumah MakLah dulu. MakLah ialah kakak emak. MakLah sekarang tinggal bersama anak perempuannya, Mala. MakLah sangat2 uzur. Terbaring je dah. Kakinya bengkok, tak boleh diluruskan dah. Jari jemari tangannya juga tak boleh diluruskan dah. Dah bawa jumpa physiotherapher tapi tak boleh nak buat apa2 dah. Dengan MakLah, kami boleh bergurau senda. Dulu kami suka mengusik MakLah ni. Setiap kali ajak datang ke Pasir Gudang, jawapannya mesti, "Esok". :) 

Selepas ke rumah MakLah, kami singgah ke rumah Wak Lan, satu2nya abang abah yang masih ada. Abah ialah anak bongsu. Sama dengan emak, anak bongsu juga. Tapi WakLan tak ada di rumah. Mungkin dia ke rumah anaknya. Sejak arwah MakNab tak ada, WakLan tinggal sendirian saja. Siang2 dia duduk di rumahnya, malam2 dia bermalam di rumah anaknya. 

Selepas tu kami menuju ke rumah Wak Amat pula. Tapi tak singgah sebab ramai tetamu yang baru sampai ke rumahnya. Jadi, kami terus ke rumah Kak Fatimah dan Abang Yusuf pula. Selesai di sini, kami terus balik ke rumah. Suami dan anak2 nak solat Jumaat pula.
Selepas selesai solat Jumaat, barulah kami berkumpul beramai2 di rumah emak abah. Adik-beradik suami ada tujuh orang. Semuanya lelaki. Dan semuanya dah berumahtangga. Saya ada 6 orang adik & abang ipar dan 5 orang biras perempuan. Tak ada biras lelaki. Anak sedara ada 19 orang dan cucu sedara ada seorang.

Selepas bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, kami bergerak ke rumah Wak Amat, abang sulung emak. Wak Amat juga sudah terlantar sahaja. Dah kurang daya ingatan, daya penglihatan dan daya pendengaran. Wak Rhu - isteri Wak AMat - tetap setia menjaganya. Kami dijamu dengan ketupat nasi, ketupat palas dan lain2. Errkkk...alhamdulillah. Jamah juga sikit...

Selepas ziarah Wak Amat, kami terus balik. Adik-beradik lain meneruskan ziarah. Kami dah ziarah pagi tadi. Sampai di rumah, kami berkemas barang2 untuk balik ke Chemor pula.

Kami bergerak selepas Maghrib. Sekitar jam 7:45 malam. Ikut waze. Dibawanya ikut jalan dalam. Tak keluar ke Tangkak tapi masuk tol Pagoh. Demi nak mengelakkan dari kesesakan jalanraya, kami follow je waze tu. Alhamdulillah, tak menempuh kesesakan. 

Ikut Jalan Bukit Mor -> Jalan Sri Tanjung -> Jalan Muar - Yong Peng -> Jalan Jeram - Sg Terap -> Jalan Muar - Labis -> Tol Pagoh ke Lebuhraya PLUS. Alhamdulillah. 

KAmi bergerak dengan dua buah kereta. MyKanda, Adik dan saya dalam satu kereta, Ayong dan Abang Ngah dalam satu kereta. Mereka singgah di Sunway, ambil Abang Yang dulu. Mereka sampai di Sunway sekitar jam 10:30 malam.
Bila bergerak dengan lebih daripada sebuah kereta, kena on-kan "live location", baru tahu kita berada di mana. Kemain jauh lagi kami ditinggalkan...
Kami sampai di Ipoh sekitar jam 1:30 pagi. MyKanda ajak singgah McD pulak dulu. Nak makan2 katanya. MyKanda tak boleh makan ayam, so dia order Filet-O-Fish aje. Ala-carte. 
Alhamdulillah. Kami bergabung di sini...! Barulah cukup korum kami - 6 orang.
Alhamdulillah. Jam 2:23 pagi 2 Syawal, kami selamat sampai ke Kg Ulu Chemor...

Jemput-Jemput Kentang Dan Pegaga


Kalau tak tau nak buat kudap2 apa, meh cuba jemput2 ni. Senang je. Campak je apa bahan2 yang ada. Kuantiti pun terpulang pada sendiri. Cuma bancuhan tu kenalah elok pekat dan jangan cair sangat. Tak boleh pulak nak dijemputkan nanti.
Bahan-bahannya :
Tepung gandum
Sedikit soda bikarbonat
Ikan bilis
Bawang besar - dipotong dadu
Telur sebiji
Kentang sebiji - diparut
Pegaga secukupnya - dihiris - boleh ganti dengan selom, ulam raja, dan lain2 - ikut selera masing2

Bancuh dengan air hingga pekat dan boleh disudu atau dijemput. Goreng dalam minyak yang banyak. Macam goreng jemput2 yang lain. Kalau guna minyak sikit, jadi lempeng atau tepek je nanti. Hehehe...! Selamat mencuba...


Final Exam Di 1 Syawal 1440H

Kenyataan Media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan peperiksaan bertulis The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) pada 3 hingga 7 Jun 2019.

Sambutan 1 Syawal kali ini terasa sedikit hambar. Hambar keranan ketiadaan anakanda Azrai pada pagi 1 Syawal. Dia menduduki peperiksaan akhir ACCA bermula jam 2:00 petang hingga 5:00 petang. Pertama kali beraya tanpa salah seorang daripada kami.

Berlinang juga airmata bila mengenangkan dia. Secara tak langsung teringatkan arwah emak dan abah. Teringatkan rumah peninggalan mereka. Walaupun rumah itu terjaga rapi oleh adik bongsu tapi setiap kali balik terasa aura arwah emak di situ.

Al-Fatihah untuk arwah emak dan arwah abah. Good luck untuk ABangYang dan rakan2 sepejuangan. Semoga kalian dapat menjawab soalan2 dengan tenang dan betul dan dipermudahkan segalanya. Aamiin...

Wednesday, September 12, 2018

Moist Fruit Pastry Cake

Selepas buat kek ini haritu, suami komplen kek ni agak kering. Memandangkan baki buah-buah dan sour cream masih ada, saya merajinkan diri membuatnya sekali lagi. Kali ini saya ubah sikit kuantiti bahan-bahannya. Caranya membuatnya masih sama. 
Apa yang saya ubah? Baki sour cream aritu saya masukkan dua kali ganda kuantiti asal iaitu 120gm - resepi asal cuma 60gm. Gula pula saya kurangkan dua sudu besar rata sebab pada saya resepi asal tu agak manis setelah dikombinasikan dengan buah-buahan segar tu. Tepung pula saya tambah sikit menjadi 220gm - asalnya 210gm. Dan saya tambah 3 sudu besar susu segar. Susu ni saya masukkan selepas saya masukkan tepung. Dan kali ini saya bakar dalam loyang foil yang kecil. Dapatlah 3 loyang.
 Dan inilah hasilnya. Keknya lebih moist / lembab dan kemanisannya secukup rasa - ikut tekak saya la. 



Friday, September 7, 2018

Bingka Labu Manis


Assalamualaikum dan salam sejahtera. Hari ini nak kongsi resepi Bingka Labu pulak.

Labu ni Makndak Liza yang bagi masa kami balik kampung aritu. Selalu tu, kalau ada labu, saya buat lepat aje. Kali ini nak cuba buat bingka pulak. Kadang2 beli bingka labu tapi tak terasa pun labunya. Tepung je banyak. Jadinya saya selongkarlah blog Dapur Tanpa Sempadan kepunyaan CikMatGebu Adnan Ibrahim.

Saya suka makan bahagian yang garing di kelilingnya tu. Kalau masak Kuih Bakar pun saya akan bakar sampai betul2 garing. Dan kelilingnya tu saya yang punya! Sebelum ini saya belum pernah mencuba buat bingka labu. Ini kali pertama saya mencuba. Dan dalam masa 3 hari, dah 2 kali saya membuatnya. Resepi CMG ni memang sangat kena dengan tekak saya. Cukup lembutnya, lemaknya, manisnya, rasa "kelabuannya". Wallaaaa...! Bingka ini saya bakar dalam loyang 9" x 9" x 3", itu yang dapat nipis sikit tu. Kalau nak tebal sikit, gunakan loyang 8" x 8" x 3" ya.

Jom tengok resepinya. Resepi ini saya olah mengikut apa bahan yang ada di rumah saya ya. Nak dapatkan resepi original, pergilah jenguk blog Dapur Tanpa Sempadan tu. Bermacam2 resepi ada di sana dan memang boleh dipercayai 100%.

BINGKA LABU MANIS

Bahan-bahan :
  • 550gm labu manis yang telah dibuang kulit
  • 2 helai daun pandan - disimpul
  • 2 cawan tepung
  • 2 biji telur Gred B
  • 1/2 cawan gula dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu pekat manis dan kurangkan 1 sudu
  • 1/2 cawan susu penuh krim (susu kotak)
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu besar mentega - dicairkan
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil esen vanilla
  • Bijan secukupnya - saya tak guna sebab tak ada stok 
Cara-caranya :
  1. Potong labu berbentuk kiub. Masukkan ke dalam periuk bersama dengan daun pandan dan rebus sehingga lembut. Buang daun pandan dan toskan. Lecek / lenyek labu sehingga halus. Ketepikan.
  2. Oles dasar loyang dengan marjerin / mentega. Alas dengan aluminium foil. Lebihkan foil di kelilingnya supaya senang untuk mengeluarkan bingka nanti. Oles aluminium foil dengan marjerin / mentega. Tujuan foil ni juga supaya bingka garing di bahagian keliling dan bawah tanpa menghanguskannya.
  3. Dalam bekas besar, masukkan telur, gula dan garam. Pukul dengan whisk hingga gula hancur.
  4. Masukkan santan, susu pekat manis, susu penuh krim dan esen vanilla. Pukul lagi hingga sebati.
  5. Masukkan tepung pula. Kacau hingga tidak bergentel2. Tapiskan adunan.
  6. Kemudian masukkan labu yang telah dilecek tadi. Kacau rata.
  7. Akhir sekali masukkan mentega cair dan kacau hingga sebati.
  8. Tuang adunan ke dalam loyang yang telah dialas dengan aluminium foil tadi dan bakar selama 1 jam atau sehingga masak. 
  9. Keluarkan bingka dari loyang dan biarkan betul2 sejuk sebelum dipotong.

 Rebus labu bersama simpulan daun pandan hingga lembut
 Lecek hingga halus
 Campuran telur, gula, garam, susu pekat manis, susu cair, santan dan esen vanilla
 Masukkan labu yang telah dilecek dan kacau
 Adunan setelah dicampurkan labu lecek
 Masukkan mentega cair dan kacau
 Loyang yang dialas dengan aluminium foil dan dioles dengan mentega di dasar dan kelilingnya
Adunan yang telah dituang ke dalam loyang dan sedia untuk dibakar.

Catatan : 
Saya gunakan santan kotak 200ml dan dibancuh menjadi 500ml / 2 cawan santan.
Saya oles seluruh permukaan aluminium foil supaya bingka tidak melekat pada foil nanti.
 Elok je bingka tidak melekat pada aluminium foil

SELAMAT MENCUBA!