Monday, September 21, 2015

Asam Pedas Ikan Kembong

Ini menu tertunggak. Lupa dah pun bila buatnya. Tapi tak le lama sangat dah. Dua minggu lepas kot. Asam pedas memang kegemaran anak-beranak. Sebelum ni saya tak suka asam pedas dan saya macam tak teringin pun nak mencubanya. Bukan tak boleh makan tapi tidaklah nak dan nak lagi rasanya. Tapi selepas saya makan asam pedas di mana entah...lupa dah...rasa macam sedap je asam pedas ni. Balik rumah, selak buku resepi Chef Hanieliza. Salin dalam sehelai kertas dan sediakan bahan2nya. Tapi sebelum tu kenalah pergi membeli mana2 bahan yang tak ada di rumah. Yang penting ialah bunga kantan dan daun kesum (orang utara panggil daun cendehom ataupun cenehom). Tapi ada juga bahan2 di dalam resepi tu yang saya tidak gunakan.
Jom kita tengok resepinya yang telah saya oleh mengikut citarasa dan bahan2 yang saya ada.

Bahan-bahannya :
4 ekor ikan kembong
2 kuntum bunga kantan - dibelah 2 atau 4
3 tangkai daun kesum
5 biji bendi
1 sudu kecil pati asam jawa - dibancuh dengan sedikit air
3 cawan air
Minyak untuk menumis

Bahan2 untuk dikisar :
20 batang cili kering
1 biji bawang besar
5 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
2 batang serai - dihiris halus

Cara-caranya :
Panaskan minyak untuk menumis di dalam periuk.
Tumis bahan2 kisar hingga naik bau dan pecah minyak.
Masukkan air asam jawa dan air. Masak hingga mendidih.
Masukkan bendi, daun kesum dan bunga kantan.
Perasakan masin, masam dan manisnya.
Masak hingga bendi separuh masak.
Masukkan ikan dan biarkan mendidih selama 5 minit.
Tutup air dan sedia untuk dihidangkan.

p/s : Jangan masak lama sangat selepas masukkan ikan sebab ikan cepat masak. Kalau lama sangat nanti ikan hancur.

Friday, September 11, 2015

Penyiraman Di Musim Catuan Air

 Mari kita berkebun pula!
Sekarang ni Pasir Gudang sedang mengalami catuan air. 2 hari tiada air, 1 hari ada air. Alhamdulillah. Walaupun dicatu, masih ada air mengalir ke rumah mengikut jadual catuan. 
Dah sebulan kami menghadapi masalah air ini. Dalam masa yang sama, cuaca walaupun redup tetapi berbahang panasnya. Diterukkan lagi dengan keadaan berjerubu. 
Maklumat terkini yang kami terima, catuan akan dilanjutkan sebulan lagi memandangkan takungan di empangan berhampiran masih di tahap kritikal.
Proses menadah dan menakung air untuk kegunaan di hari2 ketiadaan air amat dilakukan sebaik sahaja ada air. Perit juga 2 hari tiada air dan 1 hari ada air. Apa2pun, alhamdulillah kerana masih ada air yang disalurkan ke rumah. 
Takungan air untuk kegunaan seharian setakat ini mencukupi. Cuma kesiankan pokok2 yang kekeringan sebab cuaca yang panas.
Satu kaedah yang saya gunakan ialah seperti di dalam gambar. Saya dapat kaedah ini daripada grup tanam2an di FB. Terima kasih kepada penyumbang idea ini. Nampak tak botol2 plastik tu? Macam mana nak buat? Macam mana ianya berfungsi?
Saya gunakan botol bersaiz 1.5L. Cucuk di bahagian bawahnya dengan jarum. Buat 2 lubang. Jangan buat lubang besar pula. Nanti tak sampai seminit air dalam botol tu dah habis. Kemudian isilah botol tu dengan air. Tutup ketat2. Kadar titisan air yang menitis boleh dilaras dengan penutup botol tersebut. Maksudnya, kalau kita tutup ketat2, berkemungkinan air tidak akan menitis keluar langsung. Jadinya selaraskan dengan membuka sedikit penutup tersebut. Selaraskan sehingga kita dapat kadar kederasan titisan yang diperlukan. Kemudian letaklah botol tersebut di dalam pasu2 berkenaan. In shaa Allah...kalau nak tinggalkan rumah selama 2 hari pun tak perlulah risau pokok2 kita kekeringan.
Selamat mencuba!

Monday, September 7, 2015

Apam Beras aka Apam Nasi

 Kalau ada lebihan nasi, jangan dibuang. macam2 boleh dibuat dengan lebihan nasi tersebut. Salah satu daripadanya ialah apam beras. Kenapa namanya apam beras walaupun tidak menggunakan beras? Siapa kata tak guna beras? Tak ada beras...tak ada la nasi. Kan?
 Apam beras ni memang sedap. Saya suka gunakan tepung beras lebih daripada tepung gandum. Akan lebih terasa "kenasian"nya. Kalau gunakan lebih tepung gandum, rasa macam liat2 sikit. Pada saya tak berapa nak sedap. Tapi lain orang lain citarasanya. Ikutlah citarasa sendiri. 
Bahan-bahannya :
2 cawan nasi
2 1/2 cawan air
1 cawan gula 
1 cawan tepung gandum - resepi asal 2 cawan
3 cawan tepung beras - resepi asal 2 cawan
1 1/2 susu kecil yis kering (mauripan) - resepi asal 1 sudu kecil
Warna2 kegemaran
Kelapa parut putih + garam - digaul rata
Cara-caranya :
Ayak tepung gandum dan tepung beras ke dalam mangkuk besar. Masukkan mauripan kan gaul supaya mauripan rata di dalam tepung. Ketepikan.
Masukkan nasi dan gula ke dalam pengisar bersama 1 cawan air dulu. Blender hingga nasi elok hancur.
Kemudian tambahkan lebihan air dan blender lagi.
Tuang ke dalam mangkuk berisi tepung tadi dan kacau dengan whisk sehingga sebati.
Perap selama 3 hingga 4 jam.
Panaskan kukusan. Sapukan minyak dalam acuan kecil2.
Bahagikan adunan kepada beberapa bhagian mengikut warna yang kita suka. Warnakan setiap bahagian.
Tuang hampir penuh ke dalam acuan. Kukus selama 15 minit.
Ulang sehingga habis semua adunan. Boleh juga digabungkan warna2 pilihan...ikut suka.
Gaulkan dengan kelapa parut sebelum dihidangkan (saya tak gaul dengan kelapa sebab anak2 tak suka).
Warna kegemaran kami ialah merah jambu dan hijau. Selamat mencuba!

20th Anniversary - 22nd August 2015

 Alhamdulillah. 22hb Ogos 2015 genaplah usia perkahwinan kami 22 tahun. Dan seperti tahun2 yang lalu, memang tiada sambutan besar2an walaupun dah mencecah 22 tahun, Sekadar makan2 dengan anak2 walaupun tak cukup korum. Abang Yang tiada bersama kami. Dan seperti tahun2 sebelum ini, jambangan bunga ros memang tidak ketinggalan walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Sekuntum bunga ros je dah berapa RM. Sekarang ni harga barang2 semuanya mahal. Jadi, kena lebih berhemah dalam berbelanja.
22 tahun. 22hb Ogos. Meja no 22.
 Kami makan di sini sahaja. Melayan rasa tekak masing2. Saya memang nak mencari Coconut Splash.
 Spagheti carbonara untuk kami berdua, salad untuk Ayong, fish n chip untuk Adik dan chicken chop untuk Abang Ngah. Saya minum coconut splash satu mug besar. Suami dan Abang Ngah berkongsi satu mug coconut splash juga. Adik minum apple jus dan Ayong minum teh lemon.
Happy anniversary untuk kami. Semoga jodoh kami berkekalan hingga ke akhir hayat.